Kadar Penanaman Semula, Kekurangan Tenaga Kerja Antara Faktor Pengeluaran Sawit Rendah – Johari

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kadar penanaman semula yang rendah selain kekurangan tenaga kerja serta pengurusan ladang tidak efisien khususnya yang melibatkan pekebun kecil antara salah satu sebab pengeluaran sawit Malaysia rendah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kadar penamanan semula yang rendah akan menyebabkan banyak pokok kelapa sawit di ladang-ladang semakin tua dan tidak produktif atau tidak menghasilkan buah yang banyak.

Jelas beliau, menurut amalan pengurusan yang baik industri sawit perlu melaksanakan penanaman semula pokok yang tua (iaitu lebih daripada 25 tahun) pada kadar 4% – 5% setiap tahun, namun, kadar penanaman semula bagi tempoh 2014-2023 agak rendah iaitu pada 1.8% setiap tahun (estet: 2%; pekebun kecil 1%).

“Pada tahun 2023, 8.5% (480,000 ha) daripada jumlah keluasan tanaman sawit negara (5.7 juta ha) terdiri daripada pokok yang berusia lebih daripada 25 tahun. Ini merupakan peningkatan yang ketara daripada 5.6% pada tahun 2014. Jika kadar penanaman semula kekal rendah pada kadar 2% bagi dua tahun akan datang, 13.7% (768,000 ha) daripada jumlah keluasan tanaman sawit negara dijangkakan mempunyai pokok yang berusia lebih daripada 25 tahun.

“Keduanya, kita berdepan dengan masalah kekurangan buruh yang menjejaskan industri sawit, isu ini bermula semasa pandemik COVID-19 iaitu ramai pekerja ladang telah pulang ke negara asal dan tidak kembali untuk bekerja,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Dewan Rakyat hari ini.

Terkini, tambah beliau lagi industri sawit kekurangan sekitar 40,000 orang penuai dan industri sawit Malaysia masih bergantung kepada pekerja asing (terutamanya penuai/harvester) iaitu kira-kira 75% pekerja dalam industri sawit terdiri daripada pekerja asing.

“Kekurangan penuai/harvester merupakan sesuatu yang amat serius kerana ekonomi negara akan mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion mengikut harga semasa.

“Ketiga, hasil buah sawit yang rendah akibat pengurusan ladang yang tidak efisien. 1.5 juta ha (27%) tanaman kelapa sawit diuruskan oleh 447,000 pekebun kecil yang terdiri daripada ‘Independent’: 214,000 pekebun kecil (822,000 ha), ‘Organized’: 233,000 pekebun kecil (674,000 ha).

“Pekebun-pekebun kecil menguruskan ladang sawit yang kecil (purata 4 ha) dan menghadapi cabaran dalam menguruskan ladang dengan cekap. Skala yang terhad mengakibatkan kos kekal tinggi dan produktiviti yang minima,” tambah Naib Presiden UMNO itu.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.