Malaysia Kekal Prinsip Sokong Kembalikan Hak Mutlak Bebas Kepada Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Malaysia kekal dengan pendekatan prinsip iaitu menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Tegasnya, Kementerian Luar Negeri sentiasa mempertingkat usaha dalam mempertahankan kepentingan negara dan menjadi suara utama dalam memperjuangkan keadilan serta keamanan sejagat.

“Dunia kini berhadapan dengan cabaran geopolitik global dan serantau yang semakin tidak menentu serta persaingan kuasa-kuasa besar semakin sengit. Meskipun demikian, Kementerian Luar Negeri sentiasa mempertingkatkan usaha dalam mempertahankan kepentingan negara dan terus menjadi suara utama dalam memperjuangkan keadilan serta keamanan sejagat.

“Dalam hal ini, konflik Palestin-Israel yang masih berlarutan merupakan salah satu isu yang terus menjadi keutamaan dan tumpuan kerajaan. Isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk pendirian dan tindakan negara, usaha mencapai gencatan senjata, penyaluran bantuan kemanusiaan dan peranan Malaysia dalam mengheret Israel ke muka pengadilan khususnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, pendirian tersebut bukannya bermula pada 7 Oktober 2023 tetapi ia bertitik tolak kepada perjuangan Palestin yang ditindas oleh rejim Israel sejak 75 tahun yang lalu.

“Seperti yang telah seringkali dilaungkan oleh kepimpinan negara, pendirian Malaysia tentang isu Palestin tidak pernah berubah dan kekal sejak dari dahulu lagi. Malaysia kekal dengan pendekatan berprinsip iaitu menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel, pengembalian hak tanah dirampas dan hak pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara dan diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pendirian Malaysia ini bukan hanya bermula pada 7 Oktober 2023 tetapi ia bertitik tolak kepada perjuangan Palestin yang ditindas oleh rejim Israel sejak 75 tahun yang lalu. Malaysia akan terus lantang dalam menyuarakan enam tuntutan utama iaitu gencatan senjata serta-merta dan bantuan kemanusiaan segera; menghentikan aktiviti penempatan oleh Israel dan tindakan keganasan penduduk haram.

“Selain itu Malaysia juga akan terus lantang menyuarakan tuntutan agar mereka menghentikan serta-merta pemindahan orang awam Palestin secara paksa; siasatan ke atas semua pelanggaran undang-undang antarabangsa melalui institusi perundangan antarabangsa; menyokong Inisiatif Keamanan Arab dan rundingan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967; dan memerangi peningkatan global dalam Islamofobia,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, Malaysia sentiasa konsisten dalam menegaskan pendirian negara termasuk mengeluarkan kenyataan dalam mesyuarat-mesyuarat dua hala dan pelbagai hala.

“Sehubungan dengan itu, Malaysia sentiasa konsisten dalam menegaskan pendirian negara, termasuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan dalam mesyuarat-mesyuarat dua hala dan pelbagai hala seperti di PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan mana-mana platform dua hala dan pelbagai hala (atau dengan izin, multilateral) bagi memperjuangkan isu Palestin dan mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.