KPT Perkasa Program Penyelidikan Kolaboratif Dalam Dan Luar Negara – Zambry

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong usaha-usaha memperkasa program penyelidikan kolaboratif di dalam dan luar negara, seperti yang dapat dilihat melalui Program Penyelidikan Padanan Antarabangsa atau Malaysia Partnerships and Alliances in Research (MyPAiR).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata program ini dilakukan bertujuan mempertingkat kerjasama penyelidikan antara Institusi Pendidikan tinggi (IPT) dengan industri serta agensi tempatan mahupun antarabangsa dalam bidang strategik.

“Melalui MyPAiR perkongsian dan kerjasama penyelidikan tidak terhad kepada perkongsian kepakaran tetapi turut merangkumi konteks yang lebih luas seperti perkongsian infrastruktur dan peralatan.

“Manakala dalam bidang-bidang berkaitan dengan penyelidikan ini termasuklah bidang tenaga, perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan sistem pintar dan sebagainya,” katanya pada waktu pertanyaan lisan bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut sama memaklumkan ianya adalah kerangka KPT untuk menggerakkan inisiatif kecemerlangan IPT yang inovatif berdasarkan kerangka gabungan kerjasama strategik empat penjuru di antara akademik, industri, kerajaan dan masyarakat yang meliputi pemegang taruh dalam dan luar negara.

“Kecemerlangan IPT memerlukan keempat-empat pemegang taruh ini untuk bertindak bersama dari peringkat permulaan sehinggalah akhir,” katanya.

Zambry dalam pada itu berkata kerjasama penyelidikan juga melibatkan negara luar iaitu penyelidikan yang diadakan dengan negara seperti United Kingdom, Jepun, Perancis dan Sepanyol melalui Natural Environment Research Council, Medical Research Council Science And Technology, Facilities Counsil, British Counsil dan lain-lain.

“Projek kerjasama ini diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan ditawarkan untuk kajian-kajian merentasi sempadan. Pada masa ini KPT juga sudah menyediakan dana pengkomersilan yang dinamakan geran Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB) yang dibuka pada setiap tahun.

“Geran ini juga bertujuan untuk menghubungkan jurang komersial dalam produk penyelidikan dengan menyediakan dana pra-komersialan melibatkan kerajsama academia dan industri.

“Hasil penyelidikan yang dihasilkan melalui geran ini adalah merupakan produk, teknologi dan perkhidmatan yang dibangunkan yang sedia digunapakai pada pra-komersial dan dapat dikomersial oleh pihak industri selepas projek tamat melalui perjanjian perlesenan antara universiti dan pihak industri,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.