Kerajaan Beri Perhatian Serius Banteras Jenayah Pemerdagangan Orang Di Malaysia – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kerajaan sentiasa memberi perhatian serius dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang yang berlaku di Malaysia.

Menurut beliau, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh kementerian dan dianggotai 22 kementerian, agensi, organisasi lain dan badan bukan Kerajaan (NGO) merupakan penyelaras dan pelaksana kepada pelbagai bentuk tindakan serta langkah bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang di peringkat nasional.

“Malaysia juga mempunyai perundangan domestik khusus iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan juga mempunyai perancangan strategik iaitu Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 [NAPTIP 3.0] bagi menangani jenayah pemerdagangan orang.

“Untuk tahun 2024, sebanyak 38 kes pemerdagangan orang melibatkan 59 tangkapan yang telah direkodkan dan sebanyak 141 orang diselamatkan.

“Daripada 2022 sehingga 2024 bilangan kes sebanyak 208, tangkapan 526 dan orang yang diselamatkan adalah sebanyak 992,” katanya pada waktu pertanyaan lisan bagi menjawab soalan daripada Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul yang juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Akta 670 ini juga telah diperkasakan melalui pindaan terkini pada tahun 2022 yang memberi tumpuan kepada beberapa penambahbaikan termasuk mengenai definisi pemerdagangan orang, yang bertujuan untuk menambah baik pengenalpastian mangsa serta meningkatkan bilangan pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang.

Selain itu jelas beliau pindaan tersebut juga memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dengan memberikan hukuman yang lebih berat kepada pesalah jenayah ini.

Menurut Shamsul, antara tindakan serta langkah berterusan yang sedang dan telah diambil oleh Kerajaan dalam memperkasakan usaha menangani jenayah pemerdagangan orang di Malaysia adalah seperti berikut:

(i) Penguatkuasaan dan pendakwaan
● pindaan terkini akta kepada tafsiran pemerdagangan orang iaitu dengan mengeluarkan definisi paksaan (coercion) membantu agensi penguatkuasaan membuat siasatan sekaligus meningkatkan peluang untuk pendakwaan dan sabitan kes;

(ii) Perlindungan
● menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Penjagaan dan Perlindungan Orang yang Diperdagangkan; dan
● membekalkan setiap orang yang diselamatkan atau mangsa yang ditempatkan di rumah perlindungan dengan set CARE-Kit yang mengandungi maklumat IEC mengikut warganegara

(iii) Pencegahan
● melaksanakan inisiatif untuk pihak majikan menyertai Akujanji dan Ikrar (Pledge) bagi bersama-sama dengan pihak Kerajaan dalam menangani pemerdagangan orang dan buruh paksa.

(iv) Kerjasama strategik
● melaksanakan tindakan bersepadu dan strategik di peringkat domistik dan juga di peringkat antarabangsa – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.