Program Pra-Tahfiz Kemas Akan Diperluas, Sasar Lahir 145 Ribu Huffaz Cilik Menjelang 2026 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Program Pra-Tahfiz Kemas akan terus diperluaskan dengan sasaran untuk melahirkan 145,000 para huffaz cilik menjelang 2026, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, program yang telah bermula sejak tahun lalu itu telah dilakukan secara rintis pada peringkat awalnya dan turut melibatkan 100 orang pendidik masyarakat tabika dan tadika Kemas.

“Untuk makluman dewan yang mulia ini, Program Pra-Tahfiz Tabika dan Tadika Kemas telah dimulakan pada tahun lalu. Ianya dilakukan secara rintis dengan pada peringkat awalnya melibatkan seramai 100 orang pendidik masyarakat Tabika Kemas.

“Program ini pastinya akan diperluaskan seluruh negara kepada pihak pendidik masyarakat yang beragama Islam dan berperingkat mulai tahun ini sehingga 2026. Ianya bakal melahirkan sekurang-kurangnya 145,000 para huffaz di kalangan pelajar tadika dan tabika ini.

“Menjelang tahun 2026 seramai 9,500 pendidik masyarakat Tabika dan Tadika Kemas akan diberi pendedahan tentang modul hafazan tabika tahfiz dan ianya akan dibuat bersama  Yayasan Pahang, UPSI, serta Yayasan Pintar mengenai kaedah pengajarannya. Tentunya kita berhasrat agar keseluruhan 600,000 anak-anak di Tabika dan Tadika Kemas ini akan memperolehi faedah pada akhir tahun 2026 ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kemas juga sedang memohon kelulusan daripada Kementerian Ekonomi untuk melakukan penambahan tenaga pengajar dan membina tabika serta tadika baharu selain penambahbaikan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa gaji dan kemudahan di bawah skim Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat berada di dalam gred S29 dengan gelaran jawatannya sebagai pendidik masyarakat adalah yang terbaik ketika ini kerana statistik permohonannmya menunjukkkan permintaan yang tinggi.

“Seramai 20,000 pemohon telah memohon untuk mengisi 400 kekosongan pada tahun lalu. Selain itu, Kemas juga telah melaksanakan pelantikan secara tetap kepada kakitangan kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan pada fasa pertama seramai 7,286 kakitangan kontrak telah dilantik secara tetap.

“Kemas juga sedang memohon kelulusan daripada Kementerian Ekonomi untuk melakukan penambahan terhadap tenaga-tenaga pengajar ini di samping memohon bagi membina tabika-tabika baharu terutamanya di kawasan-kawasan yang masih belum ada tabika Kemas atau mahu memperbaikinya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.