Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B Bakal Bermula Suku Kedua Tahun 2024

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B akan dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama lima tahun dan dijangka akan bemula seawal suku kedua tahun 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkara, projek fasa satu pembinaan lebuh raya dengan anggaran jarak 706 kilometer itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

“Pelaksanaan projek fasa satu Lebuh Raya Pan Borneo, Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja. Sehingga kini 15 pakej 1A kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan terkini adalah 88 peratus dan akan siap pada 2025… manakala status pakej kerja 91(A) yang melibatkan laluan dari Serusup ke Pituru masih di peringkat perolehan.

“Sehingga kini, pakej-pakej kerja berikut telah siap dan telah dibuka untuk pengguna jalan raya. Pakej kerja 5 (Donggongan ke Papar) telah siap pada 29 Ogos 2022, pakej kerja 27 (Kampung Lot M ke Batu 32, Sandakan) telah siap pada 18 November 2022, pakej kerja 15 (Tawau ke Semporna) telah siap pada 10 Ogos 2023 dan pakej kerja 21 (Lahad Datu Bypass) telah siap pada 30 Oktober 2023.

“Secara keseluruhan, sebanyak 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini dan kos keseluruhan sebanyak RM10.489 bilion, menggunakan peruntukan pembangunan sepenuhnya iaitu Development Expenditure (DE),” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, pakej 19 kerja fasa 1(B) yang masih belum bermula pembinaannya dengan kos RM15.7 bilion akan dibiayai secara hibrid iaitu menggunakan peruntukan pembangunan dan melalui terbitan sukuk oleh DanaInfra Nasional Berhad.

“Projek Sabah Pan Borneo fasa 1B ini akan dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama lima tahun dan dijangka akan dimulakan seawal suku kedua tahun 2024. Lebuh Raya Pan Borneo Sabah fasa 1B ini telah pun selesai makmal pengurusan nilai, peringkat kajian nilai (value assessment) kejuruteraan nilai (value engineering) yang dilaksanakan sepanjang tahun 2023 bagi memastikan segala skop dalam pakej ini diteliti sebelum ianya ditender.

“Pakej-pakej di bawah pelaksanaan fasa 1B adalah seperti berikut; Jajaran North-West sepanjang Daerah Kota Belud-Simpang Mengayau Kudat, Jajaran South-East merangkumi Tawau sehingga Lahad Datu, Jajaran North-East melibatkan Daerah Lahad Datu-Sandakan dan Jajaran Central melibatkan Telupid dan Melanau.

“Sukacita dimaklumkan fasa 1B kini dalam proses perolehan dengan menggunakan tender kaedah pra-kelayakan terpilih dikalangan syarikat-syarikat berdaftar di Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.