Manndzri Tegaskan Sektor Agromakanan Perlu Diperkasakan

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata sektor agromakanan perlu diperkasakan menerusi penyelidikan berinovatif yang perlu ditingkatkan menerusi penggunaan teknologi sekaligus meningkatkan kadar pendapatan selain inisiatif-inisiatif dan ikhtiar-ikhtiar tertentu mesti dimunculkan untuk tarik minat generasi muda.

Justeru beliau menyeru agar agensi-agensi yang memiliki dan mengurus sumber tanah negara seperti FELDA, RISDA dan FELCRA termasuk kerajaan-kerajaan negeri wajib berganding bahu dan bersinergi mengurus polemik keterjaminan makanan bagi jangka masa panjang bukan semata-mata untuk keperluan hari ini tetapi untuk jangka masa panjang

“Sektor pekerjaan tradisional masyarakat di Malaysia yang terdiri nelayan dan petani serta penternak merupakan penyumbang utama keterjaminan makanan negara dan bukannya untuk diri mereka sendiri, tetapi untuk seluruh masyarakat dunia.

“Berdasarkan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI), Malaysia berada di kedudukan ke-28 pada tahun 2019 dan jatuh ke kedudukan 43 bagi tahun 2020 daripada 113 buah negara kesan pandemik COVID-19. Indeks GFSI bagi tahun 2022, Malaysia naik kepada kedudukan 41 dengan mata 69.9 peratus dan masih berada pada tahap sederhana. Tindakan agresif perlu dilaksana bagi menjamin sekuriti makanan dan sekiranya tidak dilaksana, rakyat berkemungkinan berdepan kelaparan menjelang 2030.

“Berdasarkan laporan Food Security Information Network (FSIN), 2020, hampir 135 juta orang daripada 55 negara terkesan akibat masalah ketidakjaminan makan dan73 juta orang dari Afrika. Negara kita mengimport sekitar 19.5 peratus (bernilai RM50.5 bilion) daripada jumlah produk makanan. Sektor ini juga memberikan pekerjaan kepada lebih 16 peratus daripada tenaga buruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menerusi ucapannya itu juga, beliau turut berkongsi Kadar Sara Diri (SSR) Agro Makanan Negara, yang terdiri daripada  beras sebanyak  62.6%, buah 78.1%, sayur 44.7%, daging lembu 20%, daging ayam/itik 94.4%, telur ayam/itik 108.9%, susu segar 57.3% dan ikan 90.2%.

“Daripada keseluruhan SSR berkenaan saya ingin menyentuh perihal ikan sahaja dan berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat hampir 11 ribu nelayan yang digaji merupakan warga asing dan antaranya adalah Landless Citizen (Tiada Negara).

“Sekiranya undang-undang yang ada dan penguatkuasaan yang dibuat oleh KDN/KPKM terhadap mereka ianya akan menggangu sekuriti makanan negara. Kerajaan perlu semak semula dasar yang berkaitan libatkan perbincangan antara KDN/KPKM dan KLN supaya boleh menangani isu ini dengan segera kerana sekiranya kita mengambil tindakan kepada 11 awak-awak profesional ini, maka kita sukar untuk keluarkan hasil laut kita,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.