Elak Penyalahgunaan Sistem Perundangan, Azalina Bincang Keperluan Dalam CLMM 2024

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa perbincangan dua hala telah diadakan dengan Kementerian Kehakiman United Kingdom termasuk berkaitan keperluan pewujudan mekanisme pengawalan pembiayaan litigasi pihak ketiga.

Ujarnya, perbincangan tersebut dilaksana berikutan wujudnya keperluan mendesak bagi mekanisme ini diwujudkan memandangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan sistem perundangan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO mengadakan pertemuan dengan Mike Freer MP (Parliamentary Under Secretary of State for the Ministry of Justice, United Kingdom) semasa Mesyuarat Menteri Undang-undang Komanwel 2024 (CLMM 2024) yang berlangsung di Zanzibar, Tanzania.

“Kami telah berbincang mengenai keperluan mendesak bagi mekanisme ini diwujudkan memandangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan sistem perundangan, seperti proses timbang tara, bagi kepentingan sendiri contohnya, dalam kes tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini.

Selain itu, maklum Azalina antara yang dibincangkan ialah tentang undang-undang Anti-SLAPP pertama yang bakal diwujudkan di United Kingdom.

“Ia bermatlamat untuk melindungi mana-mana pihak daripada tindakan individu atau syarikat yang menggunakan sistem undang-undang secara tidak wajar yang menggunakan sistem undang-undang secara tidak wajar untuk mengganggu, menakut-nakutkan dan meletihkan pihak lawan dari segi kewangan atau psikologi.

“Tambahan juga, usaha kerjasama dan perkongsian ilmu antara Malaysia dan United Kingdom mengenai Kajian Empirikal pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga telah dibincangkan.

“… dan saya telah memaklumkan bahawa Kajian Empirikal berdasarkan keterangan (evidence-based research) yang mengambil kira ‘Shawcross Principle’ dan ‘Doctrine of Independent Aloofness’ akan dijalankan di United Kingdom pada tahun ini,” katanya lagi.

CLMM 2024 yang merupakan mesyuarat dwitahunan sedang berlangsung bermula dari 4 Mac hingga 8 Mac dengan tema ‘Teknologi dan Inovasi: Bagaimana Pendigitalan Membuka Jalan untuk Pembangunan Akses Berpaksikan Rakyat kepada Keadilan’.

Mesyuarat selama lima hari itu menyaksikan penyertaan 56 negara anggota terdiri daripada Menteri Undang-undang dan Peguam Negara dari seluruh Komanwel. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.