Tolak Episod Drama Politik, Jimat Kos Sekiranya Pilihan Raya Secara Bersekali – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berpandangan setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, rakyat telah disajikan dengan pelbagai episod drama politik.

Menurutnya, ketidakstabilan yang berterusan dan memuncak telah mengheret kepada pilihan raya di tiga buah negeri iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Melaka 2021 dan Johor 2022.

Jelasnya, keadaan tersebut tidak terhenti di situ, malah terus berpanjangan apabila pilihan raya di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diadakan secara berasingan daripada PRU ke-15.

“Tamat tempoh penggal akan ada PRN Sabah September 2025, PRN Melaka November 2026, PRN Sarawak Disember 2026, PRN Johor Mac 2027, PRU ke-16 November 2027 dan PRN enam Negeri Julai 2028. Sehubungan itu, perkara ini mendapat perhatian semua pihak yang bertanggungjawab dan yang mempunyai autoriti untuk merealisasikannya.

“Pilihan raya secara bersekali ini agak sukar untuk diadakan dalam masa terdekat atau pada PRU ke-16, namun perbincangan ke arah tersebut perlu dimulakan bermula sekarang.

“Penjimatan kos yang dianggarkan sekitar 500 juta ringgit pada masa akan datang, bakal meningkatkan kemampanan kewangan negara dan boleh dibelanjakan untuk kepentingan rakyat yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah di-Raja di Dewan Rakyat, di sini.

Mengulas lanjut, pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri serta Menteri Besar atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan di negeri masing-masing.

“Sekiranya amalan di luar kebiasaan ini berpanjangan perkara ini bakal menjejaskan kewangan negara, fokus Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta rakyat di luar sana. Lebih-lebih lagi, negara telah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah meningkatkan kos pilihan raya sehingga 50 peratus.

“Jika pilihan raya yang dibuat secara berasingan tidak mendatangkan keuntungan buat rakyat dan negara dari segi kos malah peratusan keluar mengundi dan budaya politik keterlaluan yang berpanjangan. Tempoh matang DUN yang paling terdekat, bermula tahun 2025 akan menempuhi pilihan raya pada setiap tahun,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama kata Ketua UMNO Bahagian Tampin itu, beliau menyambut baik langkah Tabika Kemas Felda dan mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah mencetuskan usaha murni berkenaan.

“Matlamat Kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran dengan menyasarkan seramai 100,000 huffaz cilik menjelang tahun 2026 menerusi Program Tahfiz Tabika Kemas.

“Pelaksanaan projek rintis yang dilakukan pada tahun lalu antaranya di Tabika Kemas Felda Jelai 3, Tampin telah membuahkan hasil dan ibu bapa juga amat teruja apabila anak-anak mereka sudah lancar menghafal surah-surah lazim iaitu bermula dari surah An-Nas sehingga Ad-Dhuha,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.