KEB 2024 Tidak Akan Wujud Tanpa DEB, Pastikan Pelaksanaan Ekonomi Tercapai – Prof Dr Azizuddin

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),  Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 tidak akan wujud tanpa adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bagi beliau KEB 2024 yang berakhir Sabtu lalu adalah kesinambungan sesuatu dasar dalam usaha memastikan tumpuan dan perancangan serta pelaksanaan ekonomi mencapai kejayaan.

“KEB tidak akan wujud tanpa DEB dan ianya adalah kesinambungan. Proses daripada satu dasar ke satu dasar dan sekarang ini dasar yang menjurus kepada teknologi  baharu… digital ekonomi, Gig Ekonomi sebagai kek ekonomi dan benda-benda baharu lain wujud kerana ada perkembangan bentuk dan perniagaan yang memerlukan dasar baharu ke arah itu.

“Jadi itulah wujudnya KEB 2024 yang memikirkan bagaimana perkara-perkara berkenaan dapat diperkasakan dan DEB yang wujud pada 1971 kenapa… bertitik tolak daripada 13 Mei 1969 jugalah… yang  mana terdapat golongan bumiputera yang miskin.

“Selepas merdeka jumlah ekuiti sangat kecil… bawah 10 peratus, jadi bagaimana untuk meningkatkannya… daripada itulah DEB diwujudkan yang berasaskan serampang dua mata iaitu basmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat,” katanya.

Katanya lagi daripada inilah lahirnya FELDA dan macam-macam lagi kewujudan institusi seperti FELCRA, RISDA dan sebagainya yang merupakan sumbangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

Beliau berkata demikian pada program anjuran Penerangan UMNO Malaysia #HitamPutihKelabu yang membicarakan ‘Kongres Ekonomi Bumiputera 2024’ yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online.

Turut serta sebagai panel dalam program tersebut ialah Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia, Prof Dr Syarifah Syahirah Sy Syeikh dan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustaqim. Program berkenaan dihoskan Moderator Dinie Fadil.

Azizuddin seterusnya menambah hari ini kemiskinan begitu kompleks apabila wujud  kemiskinan bandar dan sebagainya lagi berbanding dahulu iaitu dalam konteks luar bandar sahaja dan hari ini diklasifikasi mengikut pendapatan B40, M40 dan lain-lain.

“Kalau saya boleh sebutkan kejayaan DEB dalam konteks pendidikan pula…1960-an Malaysia hanya ada satu sahaja universiti iaitu Universiti Malaya dan selepas itu dilancar DEB, kerajaan mahu hantar pelajar belajar ke universiti namun terhad.

“Kemudiannya lahirlah UKM dan seterusnya berkembang. Ini antara sebahagian kejayaan dan adalah jelas kejayaan DEB,” ujarnya.

Ujarnya lagi secara umumnya KEB 2024 bukan sahaja perjuangkan nasib atau peluang golongan bumiputera semata-mata tetapi menerusi ruang yang ada termasuklah peluang-peluang baharu yang boleh dikemukakan dengan meningkatkan taraf hidup bumiputera dan non-bumiputera kerana perbincangan KEB itu menyentuh secara menyeluruh.

“Untuk membangunkan sebuah negara bangsa perlu kita lihat kedua-dua ini. Kalau saya lihat ia mempunyai fokus yang lebih luas.

“Apa masa depan negara kita pada masa akan datang, juga reflek kepada bumiputera dan dalam konteks yang sama bagaimana kita boleh bersaing dengan negara-negara lain yang lebih  besar,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.