Dari Parlimen: Ahmad Maslan Jelaskan Persoalan Status Kelulusan LPT3

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) ditangguhkan oleh kerana dasar semasa kerajaan untuk tidak melaksanakan Skim Pembayaran Tertangguh (Deferred Payment Scheme).

Ini kerana katanya, projek LPT3 dilaksanakan secara Request for Proposal (RFP) dan KKR telah memaklumkan kepada pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui surat bertarikh 28 September 2022 mengenai pelaksanaan projek LPT3 secara RFP.

“Pihak UKAS telah mengemukakan surat kepada KKR berhubung penyediaan Penyata Keperluan (Statement of Need – SON) projek LPT3 pada 24 Februari 2023. Pada 12 April 2023, pihak UKAS memaklumkan kepada KKR mengenai surat yang diterima daripada ICC ECER Terengganu supaya proses RFP, tender dan pelantikan kontraktor yang dirancang selama 2 tahun (2023-2025) bagi pembinaan projek LPT3 disegerakan.

“Pada 26 Jun 2023, KKR telah mengemukakan penyata keperluan cadangan projek LPT3 kepada pihak UKAS. Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP) di UKAS bersetuju antara lain supaya KKR membuat kajian lanjutan jajaran LPT3 sehingga ke Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar (PN) yang bertanyakan status kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan pembinaan LPT3 memandangkan kajian berkenaannya telah pun selesai sejak Ogos 2022, di Dewan Rakyat, di sini.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan projek LPT3 sedang diteliti di peringkat Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP) dan seterusnya Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) di Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM).

“Pasukan Projek akan ditubuhkan oleh UKAS, JPM bagi menyediakan kertas mesyuarat jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan prinsip pelaksanaan projek LPT3 secara RFP.

“Pasukan projek juga akan menyediakan maklumat berkaitan jajaran, anggaran kos pembinaan, anggaran kos pengambilan balik tanah dan perkara-perkara yang berkaitan,” katanya.

Seterusnya tambah Ketua UMNO Bahagian Pontian lagi, penubuhan jawatankuasa kecil teknikal dan jawatankuasa kecil komersial akan ditubuhkan bagi menyediakan dokumen RFP secara terperinci setelah kelulusan prinsip diperoleh dan tertakluk kepada kelulusan mesyuarat jawatankuasa kerjasama awam swasta (JKAS). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.