Malaysia Usul Palestin Diterima Masuk PBB, Kirim Poskad Khas Kepada Setiausaha Agung PBB

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan bahawa Malaysia kekal dengan pendekatan berprinsip melibatkan krisis di Palestin dalam semua lapangan keadaan dan masa.

Katanya, terbaharu tindakan yang dilakukan Malaysia adalah dengan mengusulkan Palestin diterima masuk sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk penyertaan Malaysia ketika pendengaran awam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Sebagai tanda solidariti ke atas Palestin, kempen pengiriman poskad khas kepada setiausaha agung PBB turut dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 17 Januari 2024 bagi menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan di Palestin.

“Selain itu Malaysia turut menyertai pendengaran awam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 22 Februari 2024 bagi mengemukakan kenyataan lisan negara berdasarkan dasar pencabulan Israel termasuklah pendudukan berterusan aktiviti penempatan dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) Palestin yang mencabul hak Palestin dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sama sekali tidak akan berganjak dari menyuarakan enam tuntuan utama iaitu seperti berikut:
1. Gencatan senjata serta merta dan bantuan kemanusiaan segera
2. Aktiviti penempatan Israel dan tindakan keganasan penduduk haram
3. Menghentikan serta merta pemindahan orang awam Palestin secara paksa
4. Siasatan ke atas semua pelanggaran udang-undang antarabangsa melalui institusi perundangan antarabangsa
5. Menyokong inisiatif keamanan arab dan rundingan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra 1997
6. Memerangi peningkatan global dalam islamophobia

Mohamad turut sama berkata kerajaan menyokong penuh cadangan Kesatuan Eropah untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dalam usaha membangun pelan hala tuju ke arah penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa kerajaan juga akan melaksanakan gerak kerja bersepadu di bawah Ops Ihsan akan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita di Gaza.

Menurut beliau, misi kemanusiaan tersebut akan terus digerakkan lagi ke Gaza melalui ops tersebut berdasarkan cadangan pelan atur tindak oleh sekretariat induk Ops Ihsan.

Sehingga ke hari ini, Israel terus melancarkan serangan ketenteraan maut di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sekurang-kurangnya 30,410 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh di Gaza, dan 71,700 yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Gaza, menyebabkan penduduknya berada di ambang kelaparan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.