Dana RM2 Bilion Untuk Bantu Usahawan Baharu Bumiputera, Pacu Ekonomi Lebih Mampan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung sealam tiga hari bermula Khamis lalu telah melabuhkan tirai pada Sabtu dengan ucapan penutup oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan kesyukuran dan berharap semoga hasil dapatan KEB ini akan terus membawa kepada agenda pelaksanaan yang dipantau oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi memacu ekonomi negara kita ke arah yang lebih mampan.

“Kongres yang berlangsung selama tiga telah berjaya menghasilkan hampir 70 resolusi untuk memartabatkan agenda sosio-ekonomi bumiputera yang diambil melalui pendekatan ‘bottom-up’ dalam Sesi Libat Urus (SLU) yang telah diadakan sejak Disember tahun lepas terdiri daripada 10 kluster-kluster yang berkait rapat dengan agenda Bumiputera.

“YAB Perdana Menteri telah menyatakan komitmen dapatan kongres ini akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera dalam masa 10 tahun akan datang,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan kejayaan pelaksanaan KEB.

Jelas Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), perdana menteri telah mengumumkan untuk mewujudkan Tabung Waqaf MARA MADANI yang memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion.

Katanya, dana ini akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk agenda pembangunan usahawan dan menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah-rumah mampu milik dilihat bakal memberi impak besar kepada agenda pemerkasaan bumiputera ini.

“Selain agenda pemerkasaan TVET, Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera juga dilihat sebagai ‘take-away’ penting dalam KEB ini,” katanya lagi.

KEB 2024 telah berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) melibatkan semua kaum Bumiputera termasuk dari Sabah, Sarawak dan Orang Asli tanpa mengira perbezaan fahaman politik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.