Pergerakan Pemuda, Puteri Sayap Anak Muda Berstruktur… Punya Ramai Pemimpin Berbakat – Shamellya

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO merupakan sayap anak muda yang kuat jika dibandingkan dengan parti lain kerana ianya berstruktur dan mempunyai ramai pemimpin berbakat.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang dikenali anak-anak muda meskipun mereka tidak sepenuhnya mengikuti susur galur perjuangan parti itu.

“Kalau kita cerita pasal UMNO, UMNO ini memang satu parti yang saya kira semua orang kenal. Walaupun mereka lahir pada tahun 2000 sekalipun, mereka ingin tahu dan asyik bercakap tentang UMNO di media sosial. Itu adalah rakan-rakan generasi saya.

“Walaupun mereka tidak tahu apa yang UMNO buat sebelum ini, tetapi mereka mengikut trend semasa. The trend is there dan kalau kita nak bawa nama UMNO ini semula, perubahan secara drastik perlu dilakukan secara berterusan. Perubahan secara drastik ini bukanlah dari segi strategi sahaja tetapi saya melihat kalau kita mahu anak muda bersama dengan kita, bangga bawa nama parti kita… kita kena jadi seperti mereka yang bersifat remaja dan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi forum di Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, pada Sabtu lalu.

Beliau mengakui bahawa para pemimpin UMNO sentiasa meneruskan usaha untuk mendekati anak muda dengan membawa karakter yang disukai golongan tersebut.

“Saya lihat ada beberapa pemimpin di dalam UMNO memang dah masuk ke dalam lingkungan tersebut. Kita cuba untuk membawa karakter ‘muda’ tersebut kepada golongan anak muda sekarang.

“Tetapi, persepsi anak muda terhadap UMNO perlu terus diperkuat, Pergerakan Puteri dan Pemuda ini adalah sayap yang kuat jika nak dibandingkan dengan parti-parti lain kerana sebenarnya kita berstruktur dan ada bakat yang sangat bagus. Daripada situ, kita kena kedepankan mereka.

“Kita kena beri peluang supaya anak muda inilah yang bawa nama UMNO itu sendiri. Bukan sahaja sebagai wakil parti dalam persidangan dan sebagainya. Apabila kita bawa nama-nama mereka ini, anak muda mungkin akan lihat dan berbalik semula kepada kita. Kita tidak boleh memperkecilkan pandangan mereka sebab mereka ini adalah pengundi terbesar kita bermula daripada undi 18 tempoh hari,” katanya lagi.

Turut hadir sebagai panel pada forum ini ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM, Prof Dr Suhaimi Saahar dan Ketua Editor Astro Awani, Ashwad Ismail. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.