KEB 2024: TVET Elemen Penting Untuk Pelaksanaan Dan Pewujudan Teknokrat – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 2 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah elemen yang penting untuk pelaksanaan bagi pewujudan teknokrat dan kerja-kerja teknikal yang akan dilaksanakan melalui pelbagai institusi kelak.

Jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa peruntukan dan ia akan digunakan oleh Kementerian Ekonomi bagi perlaksanaannya,  begitu juga untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kedua-dua kementerian ini bekerja rapat bagi memantau semua hasil dalam perbincangan sesi libat urus yang telah dijalankan sebelum kongres ini. Semua dokumen perbincangan itu telah dilancarkan dan diserahkan kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Kita telah mengambil kira semua aspek termasuk peruntukan, waktu pelaksanaannya dan tindakan susulan segera yang perlu dilakukan oleh Sekretariat Tetap Kongres Ekonomi Bumiputera,” katanya semasa sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajun Desa dan Wilayah menjelaskan dalam kongres ini Perdana Menteri telah mengumumkan 10 kumpulan dan dipersetujui oleh beliau.

“Saya telah diberikan tanggungjawab untuk Pengerusi Jawatankuasa Pemandu mengambil kira pengurusan dan resolusi yang akan dapat ‘endorsment’ atau keabsahan dari majlis ekonomi. Bagi jawatankuasa yang di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera ialah jawatankuasa kerja yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Paling penting kesepuluh kluster dalam Kongres Ekonomi Bumiputera telah mengusulkan pelbagai aspek yang terkait dengan masyarakat Bumiputera tanpa meminggirkan kaum lain di negara kita.

“Ini penting terutamanya dalam aspek pembasmian kemiskinan dan juga pengagihan ekonomi yang lebih saksama serta paling penting adalah penerobosan teknologi baharu yang harus diceburui oleh pelbagai kumpulan masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.