Parlimen: Pinda Sebahagian Akta GSA 1960, Beri Kebenaran Bina Rumah Kedua Atau ketiga Atas Lot Asal FELDA

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Kerajaan hari ini dicadang agar meminda sebahagian Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 untuk membenarkan rumah kedua atau ketiga dibina di atas tanah lot asal peneroka tersebut.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kebenaran untuk membina satu rumah ini bukanlah perkara yang mustahil, bahkan Kerajaan sebenarnya pernah memberi kebenaran sementara untuk perkara ini dilakukan.

“Saya mengambil contoh soal pembinaan rumah di atas tanah milik lot peneroka. Ketika ini, jika mengikut Akta GSA, hanya sebuah rumah iaitu rumah peneroka sahaja yang dibenarkan dibina diatas lot tersebut.

“Pada tahun 2017, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu pernah mengumumkan kelulusan untuk membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak sewaktu melancarkan Hari Peneroka Kebangsaan tahun 2017.

“Setiap peneroka secara puratanya mempunyai suku ekar hingga setengah ekar tanah yang boleh digunakan untuk membina rumah mereka. Saya ingin mencadangkan agar sebahagian daripada Akta GSA ini dipinda untuk membenarkan rumah kedua atau ketiga dibina diatas tanah lot asal peneroka tersebut,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan usul menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Jalaluddin lagi, usaha untuk membenarkan pembinaan rumah kedua ini bukanlah baharu dan tidak pernah berhenti sebenarnya, malah pada bulan Januari 2021, Tan Sri Idris Jusoh yang merupakan Pengerusi FELDA pada ketika itu pernah membuat kenyataan bahawa FELDA dalam proses membenarkan generasi kedua dan ketiga tanah rancangan itu membina rumah tambahan di tapak kediaman milik ibu bapa mereka.

“Tetapi rancangan itu perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu bagi mengelak pertikaian berkaitan perundangan pada masa hadapan. Beliau juga menyebut bahawa semua Pengurus Besar Wilayah FELDA sudah diarah berjumpa kerajaan negeri masing-masing bagi berbincang secara lebih lanjut supaya tapak tanah yang dikongsi berkenaan boleh dibina kediaman tambahan.

“Namun  tidak ada sebarang kata putus yang berjaya dibuat sehingga ke hari ini, mungkin ada sedikit kekangan atau prosedur yang masih belum dipatuhi. Justeru, saya berharap agar Kerajaan Madani yang ada pada hari ini dapat meneruskan segala cadangan dan perancangan yang telah dibuat sekaligus meletakkan titik noktah kepada isu yang telah berlarutan sejak sekian lama,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.