Malaysia Kesal Permohonan Palestin Dibantah

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Malaysia menzahirkan kekesalan berhubung permohonan Palestin untuk menjadi negara pemerhati pada Persidangan Mengenai Perlucutan Senjata (CD) bagi sesi 2024 dibantah beberapa delegasi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada persidangan Sesi 2024 di Geneva pada Rabu, berkata Malaysia berpendapat bahawa Palestin mempunyai hak yang sama untuk menyertai persidangan itu.

Beliau berkata Palestin merupakan Negara Pemerhati bukan anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan “state party” kepada perjanjian pelucutan senjata, iaitu Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin (BTWC) dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) yang telah dirunding dan diterima pakai oleh CD.

“Malaysia menggariskan kepentingan prinsip keterangkuman dan multilateralisme dalam persidangan itu,” kata beliau.

Malaysia juga menggesa perluasan keanggotaan persidangan untuk penglibatan yang lebih luas dalam komuniti antarabangsa, katanya.

Mohamad berkata Malaysia juga menyeru negara-negara anggota untuk bersetuju dengan Program Kerja dan menyatakan bahawa adalah penting bagi CD mengatasi semua halangan sebelum ia dapat memenuhi mandatnya bagi merundingkan instrumen pelucutan senjata dan pengawalan senjata.

Krisis global semasa membabitkan keamanan dan keselamatan antarabangsa sangat memerlukan CD untuk berfungsi dengan berkesan.

“Bagaimanapun, ketidakupayaan negara aggota CD untuk bersetuju dengan Program Kerja telah mengakibatkan kebuntuan yang berpanjangan selama lebih dua dekad,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus terlibat secara konstruktif dengan negara anggota persidangan yang lain dan menyokong semua usaha yang menyumbang ke arah pelucutan senjata secara am dan lengkap.

“Sehubungan itu, kami menyeru semua negara anggota untuk segera mempamerkan kemahuan politik yang lebih besar, membina kepercayaan antara satu sama lain, serta fleksibel sepenuhnya untuk memajukan kerja substantif persidangan,” katanya.

Mohamad berkata delegasi Malaysia menggariskan bahawa persetujuan terhadap Program Kerja tidak menjejaskan keputusan rundingan perjanjian pada masa hadapan.
Malaysia kekal teguh menyokong pelucutan senjata nuklear yang mendatangkan kesan buruk bukan sahaja terhadap manusia tetapi juga terhadap alam sekitar, kata Mohamad.

“Malaysia menegaskan bahawa penghapusan senjata nuklear sepenuhnya adalah jaminan mutlak menentang penggunaan atau ancamannya,” katanya.
Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Segmen Peringkat Tinggi Majlis Hak Asasi Manusia dan Segmen Peringkat Tinggi CD, dari 27 hingga 29 Feb di Geneva, Switzerland.

Di luar Segmen Peringkat Tinggi Sidang ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia, Mohamad bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai pengukuhan kerjasama antara Malaysia dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dalam pelbagai isu hak asasi manusia, termasuk kerjasama melalui pejabat serantaunya di Bangkok.

Timbalan Menteri Luar itu juga menyatakan bahawa Malaysia mengalu-alukan lawatan rasmi pertama Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia pada tahun ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.