KEB: Kestabilan Asas Kepada Perpaduan Dan Kemajuan Ekonomi Negara – Johari

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Perpaduan yang sebenar adalah melihat kepada aspek kedudukan dalam ekonomi yang memainkan peranan dalam kemajuan sesebuah negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun kata beliau, perpaduan dan kemajuan ekonomi juga adalah titik tolak kepada kestabilan dimiliki negara yang merupakan elemen penting kepada kesejahteraan rakyat.

“Jadi salah satu daripada elemen kestabilan itu ialah (rakyat) dapat tempat tinggal, bekerja dan membuat sebarang perniagaan dalam sesebuah negara itu.

“Masyarakat majmuk seperti kita ini sama ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum Sabah dan Sarawak mereka ini boleh hidup dalam aman dan damai. Di situ ialah komponen kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ‘Diskusi MADANI: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera’ sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengulas lanjut berkenaan perkembangan ekonomi, Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata perbezaan ideologi parti tidak seharusnya memberikan kesan kepada tahap ekonomi sesebuah negara.

 

Kata beliau, ditambah pula dengan kepelbagaian masyarakat yang memerlukan citra kebersamaan bagi mengelakkan jurang antara kaum berlaku.

“Kestabilan politik iaitu dari segi konsep mana-mana parti yang terlibat dalam politik mempunyai agenda, idelogi dan falsafah mereka. Kesemua perbezaan ideologi ini tidak boleh membantut perkembangan ekonomi sekiranya mereka tidak dapat memberi kestabilan, kefahaman soal perpaduan ini.

“Perpaduan ini tidak boleh dilihat dalam konteks stailo, kalau kita tengok masyarakat Cina hanya tumpu kepada orang Cina, masyarakat Melayu hanya fikirkan tentang orang Melayu, manakala India hanya fikirkan orang India sahaja maka kita akan dapat banyak perbezaan di situ,” ujar beliau.

Johari dalam pada itu turut berkongsi empat elemen iaitu ekuiti korporat, kemiskinan, pengangguran siswazah dan pendapatan purata membabitkan bumiputera.

“Saya bagi contoh kalau kita tengok statistik yang dibentangkan oleh ketua setiausaha ekonomi ada empat perkara pertama ekuiti korporat, kalau dalam konteks bumiputera 70 peratus daripada penduduk negara kita ini adalah bumiputera tetapi ekuiti korporat yang ada hanya 18.4 peratus

“Yang kedua kadar konteks kemiskinan di antara masyarakat Bumiputera, Cina dan India yang paling tinggi sekali kadar kemiskinan adalah bumiputera. Dianggarkan 7.9 peratus kadar kemiskinan. Kemudian dalam konteks pengangguran siswazah, 71 peratus adalah daripada bumiputera.

“Jadi kalau kita tengok dari segi pendapatan purata, paling rendah sekali bumiputera jadi dalam konteks ini saya hendak tengok bahawa kita boleh melihat perkara ini dengan lebih luas daripada kita memberi pengkhususan dari segi ideologi politik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.