Wajibkan Syarikat Mega Laksana CSR, Program Pembangunan Bakat Tempatan

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ‘Community Led Local Development Policy’.

Katanya polisi ini mewajibkan syarikat-syarikat yang memperoleh projek mega berjumlah RM500 juta ke atas, menyedia satu dana khas tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi program pembangunan bakat tempatan dan setempat yang bersifat holistik yang akan menyokong perkembangan ekonomi setempat.

“Polisi ini mirip sebagaimana pelaksanaan Program Industry Collaboration Program (ICP) / Offset, yang disyaratkan di dalam Dasar Perolehan Kerajaan sedia ada di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan.

“Sebagai contoh, projek ECRL, tidak dinafikan memberi manfaat yang besar kepada Pahang dan negeri-negeri di Pantai Timur, tetapi alangkah baiknya juga jika syarikat pemaju projek ini boleh memberikan ‘Offset’ dengan mewujudkan infra pusat ekonomi di sepanjang jajaran ECRL, serta melatih usahawan-usahawan baru berkaitan bidang MRO dan sebagainya.

“Ini yang saya maksudkan, secara berterusan dan bukan hanya pada fasa pembinaan projek sahaja, bahawa impak pembangunan dan ekonomi dapat di rasai oleh kawasan setempat dan penduduk di sekitar projek mega seperti ECRL,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Menyentuh berkenaan dasar pelancongan, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Backbenchers menyeru kerajaan dan rakyat untuk memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut beliau ini kerana pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 juga dapat membuka ruang ekonomi dan janaan pendapatan.

“Pencapaian kedatangan hampir 29 juta pelancong asing ke negara ini pada tahun 2023, tertinggi di kalangan negara ASEAN, merupakan kejayaan yang boleh dibanggakan, tahniah saya ucapkan.

“Namun begitu, di dalam kegamatan menyambut tetamu dan pelancong luar negara untuk datang ke negara ini, kita haruslah bersedia dengan infrastruktur, fasiliti dan kemudahan awam yang baik dan bersih, lebih utama lagi membuang mentaliti kelas ketiga dalam ketersediaan fasiliti kelas pertama.

“Jika kita teliti, pencapaian kemasukan pelancong asing, walaupun tinggi jumlahnya berbanding negara serantau, tetapi pendapatan yang dijana adalah jauh lebih rendah. Sebagai perbandingan, Thailand mencatat pendapatan berjumlah USD31 bilion pada tahun 2023, berbanding pendapatan Malaysia sebanyak USD23 bilion,” ujar beliau.

Beliau malah turut sama menyeru kepada kerajaan agar usaha membawa masuk lebih ramai pelancong asing yang berkualiti dan mampu berbelanja lebih dipertingkatkan, selain meminta agar pemain industri lebih bersedia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.