Sidang Parlimen: ‘Peel’ Pembangkang Makin Teruk Dan Amat Biadap – Puad

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pembangkang masih lagi membawa budaya tidak sihat pada persidangan Dewan Rakyat yang telah bermula semalam.

Katanya, pembangkang diibarat seperti tidak boleh dinasihati kerana seakan tidak faham dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada titah pembukaan Parlimen untuk kesemua Ahli Parlimen mengikut peraturan persidangan.

“Memang teruk peel pembangkang. Amat biadap keluar Dewan ketika PMX baru mula ucapan junjung kasih kepada YDP Agong ke 16.

“Pembangkang macam tidak boleh dinasihati. Titah perasmian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Ibrahim cukup jelas. Tidak masuk akal penggubal undang-undang tidak ikut peraturan

“Ucapan menjunjung kasih pun jadi kecoh. Apakah Kerajaan langgar peraturan? Kerajaan bawa usul guna peraturan 14(2). Ia diundi.

“Masalahnya pembangkang masih dengan budaya lapuk. Terjerit jerit, kata kata kesat, mencelah tidak ikut peraturan dianggap hero dan berprestasi tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit dalam pada itu turut sama berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menyemak kembali peraturan mesyuarat 44(2).

Beliau malah mempersoal kewajaran ahli yang digantung ditarik balik segala kemudahan mereka dalam tempoh penggantungan itu.

“Gobind Singh Deo (Puchong) dan Fong Po Kuan (Batu Gajah) pernah digantung lama dan hilang segala kemudahan ahli parlimen mereka.

“Gobind dapat balik gaji dia atas perintah Mahkamah Persekutuan. Elok peraturan ini dikaji semula. Jangan bazir duit pembayar cukai. Hadir Parlimen hanya buat kecoh,” ujar beliau.

Terdahulu pada persidangan semalam, pembangkang bertindak keluar dewan selepas mendakwa kerajaan tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat.

Perkara itu terdahulu tercetus apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertindak bangun mempertikai dengan menyatakan mereka terkejut kerana penerangan menteri disenaraikan hari ini tanpa adanya sebarang notis diberikan.

Ia sebagai tindakan protes selepas speaker berkeras membenarkan slot diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyampaikan ucapan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.