#HitamPutihKelabu Kupas ‘Keputusan Akhir: Dari Pekan Ke Penjara’

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Persepsi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengatakan beliau seorang pemimpin korup adalah tidak benar kerana dana SRC International bukan digunakan untuk tujuan peribadi.

Peguam Bela Jenayah, Tai Zee How berkata, persepsi yang telah dicipta terhadap Mohd Najib tersebut sebenarnya telah bercampur aduk dengan perundangan dan politik yang boleh dipengaruhi oleh media.

“Persepsi untuk kes Datuk Seri Najib telah bercampur aduk dengan perundangan dan politik yang boleh dipengaruhi oleh media. Bukan sahaja media sosial ia termasuk media utama dan alternatif.

“Persepsinya seorang Perdana Menteri mencuri, dibicarakan dan disabit hukuman adalah satu pernyataan yang begitu senang untuk difahami. Kadangkala banyak pengaruh ataupun hasutan yang perlu dilakukan untuk mencapai persepsi ini.

“Jawapan saya mudah, persepsi terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak menepati apa yang telah berlaku dari permulaannya sebagai Perdana Menteri, kejatuhan Barisan Nasional (BN) dan perbicaraan sehingga kini. Bagi saya sebagai seorang individu, cara Datuk Seri Najib menggunakan duit SRC tidak menepati sifat seseorang yang korup,” katanya ketika sesi wawancara #HitamPutihKelabu di Facebook UMNO Online anjuran Penerangan UMNO Malaysia pada Isnin.

Menurutnya, Mohd Najib merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan persepsi negatif sebegini sudah semestinya bercanggah dengan peribadi beliau.

“Contohnya, tiada bukti bahawa duit tersebut dihabiskan untuk membeli kereta mewah, syarikat, tanah dan sebagainya. Walaupun ada barang-barang kemas, tetapi ianya untuk hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Qatar, bukan untuk persendirian.

“RM42 juta digunakan untuk anak yatim piatu melalui Yayasan Tun Razak termasuk kepada pegawai-pegawai beliau yang telah meninggal dunia, untuk research, speech writing dan program-program rakyat melalui parti politik seperti UMNO.

“Ini persepsi saya sebagai seorang individu. Ianya bukan sahaja tidak menepati ciri-ciri korup bahkan menunjukkan sifat-sifat seorang pemimpin yang berwibawa. Persepsi bahawa dia seorang pencuri bercanggah dengan persepsi saya… dia bukan seorang pencuri malah berdasarkan kertas-kertas yang diutarakan di mahkamah, seorang pemimpin yang berwibawa,” katanya lagi.

Sementara itu, penulis buku berkaitan perbicaraan Mohd Najib bertajuk ‘Keputusan Akhir: Dari Pekan Ke Penjara’, Ariff Lias berkata, persepsi negatif merupakan sesuatu yang mudah diterima oleh mana-mana pihak.

“Persepsi negatif ini memang senang diterima. Semasa Datuk Seri Mohd Najib berkuasa dahulu ada yang mengatakan sekiranya beliau turun, nilai Ringgit Malaysia akan naik. Apabila ditanamkan persepsi beliau mencuri, merompak dan sebagainya perkara ini akan mudah ‘lekat’ daripada mereka mahu menerima fakta.

“Apa yang kita cuba terangkan adalah fakta-fakta mengenai perjalanan kes itu sendiri. Contohnya dikatakan Datuk Seri Najib membelanjakan wang ini dengan sewenang-wenangnya tetapi faktanya beliau menggunakannya untuk hubungan diplomatik.

“Itu semua disebut dalam mahkamah dan pendakwa raya sendiri pun mengakui perkara ini. Hubungan diplomatik ini perlu diberikan hadiah dan ianya telah menjadi kebiasaan. Jadi, perkara-perkara inilah yang cuba kita laporkan supaya rakyat tidak termakan dengan persepsi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa saksi-saksi turut mengakui bahawa tiada langsung arahan daripada Mohd Najib yang mengarahkan mereka untuk memasukkan duit tersebut ke dalam akaun peribadinya.

“Ada juga di dalam perbicaraan dinyatakan beliau menggunakan wang yang dikatakan ‘dicuri’ daripada SRC ini untuk perjalanan beliau ke Thailand. Beliau tengah bercuti di Hawai bersama keluarganya kemudian dilaporkan terdapat banjir besar di Kelantan pada ketika itu.

“Beliau kembali ke Malaysia dan pergi ke Thailand untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan tentang hal banjir sebagainya. Jadi, perbelanjaan ketika ke Thailad dikatakan menggunakan duit itu. Beliau tidak ‘claim’ kembali perbelanjaan ini semula kepada kerajaan dan menggunakan duitnya sendiri.

“Jadi perkara-perkara inilah yang perlu diterangkan supaya mereka faham duit tersebut bukannya dibelanjakan untuk kegunaan peribadi. Kenyataan saksi-saksi tidak menuju kepada Datuk Seri Najib yang memberi arahan secara bertulis mahupun ‘verbal’ untuk memasukkan duit ini ke dalam akaun beliau. Perkara ini ada dilaporkan di dalam portal,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.