Kerajaan Madani Pandang Serius Isu Jenayah Dalam Talian, Giat Atur Pelbagai Strategi

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan pada masa ini sedang dalam proses merangka satu akta baharu yang merangkumi
peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’.

Katanya ia untuk meningkatkan keselamatan digital secara terperinci dan jelas selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat.

“Selain itu, penelitian juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkenaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi membolehkan pengembalian wang penipuan kepada mangsa-mangsa.

“Kerajaan MADANI memandang serius isu jenayah dalam talian ini. Usaha ke arah menangani isu ini sudahpun dimulakan dan akan dipastikan supaya individu-individu tidak bertanggungjawab tidak lagi mempunyai sebarang ruang dan peluang untuk memperdaya rakyat melalui penipuan dalam talian lagi setelah undang-undang baharu bagi menangani isu ini dapat diluluskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dikuatkuasakan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang mahu penjelasan kerajaan mengenai usaha dilakukan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Azalina turut berkata satu mesyuarat juga telah diadakan pada 20 Disember 2023 bersama dengan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan isu ini.

“Berikutan itu, satu Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu berkaitan dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian yang dipengerusikan bersama-sama oleh saya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah dibentuk oleh Kerajaan MADANI.

“Mesyuarat Pertama Jawatankuasa berkenaan telah diadakan pada 5 Februari 2024 yang melibatkan enam belas agensi Kerajaan dan badan berkanun di Malaysia.

“Berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus yang diadakan, didapati bahawa perundangan yang sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat dan menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa sehingga platform yang ada tidak lagi selamat dan dicemari dengan pelbagai jenayah, termasuklah penipuan dalam talian (online scam).

“Terdapat keperluan segera bagi pewujudan satu sistem ‘kill switch’ melalui perundangan dalam memberhentikan aktiviti-aktiviti penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara serta-merta,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.