KEB 2024: Medium Bincang Pendekatan Baharu, Perkasa Kedudukan Ekonomi Bumiputera Tanpa Ketepi Kaum Lain

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 merupakan sebuah medium untuk membincangkan pendekatan baharu bagi memperkasakan ekonomi bumiputera tanpa mengetepikan kaum lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terlalu banyak ruang yang perlu diisi selepas lima dekad KEB siri kedua diadakan.

“Saya berasa tercabar apabila melihat selama 58 tahun pelbagai wacana dilakukan terkait dalam mempersoalkan dan membincangkan terperinci mengenai KEB bersama perkara-perkara tidak berkaitan ekonomi, sehingga kini kita dapati bahawa terlalu banyak ruang harus kita isi semula setelah lima dekad berlalu.

“Kini kita akan menghadapi lima dekad akan datang maka harus bersiap siaga dari sekarang tentang bagaimana bumiputera, orang Melayu, rakan-rakan di Sabah-Sarawak dan orang Asli harus bersama terangkum dalam satu kelompok besar untuk kita akan memperkasakan soal ekonomi serta lain-lain.

“Ini dilakukan supaya kedudukan bumiputera terus seimbang dalam melayari kehidupan sebagai rakyat Malaysia di rantau ini,” katanya ketika sesi wawancara bersama RTM, semalam.

Menurutnya, KEB pada kali ini juga diadakan untuk membincangkan bagaimana kaum bumiputera boleh mengungguli bidang-bidang tertentu terutamanya ekonomi.

“Kita lihat hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama dan kedua… kemudian apabila berlaku peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, kerajaan pada ketika itu mewujudkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Salah satu aspek menjadi perhatian adalah pemegang ekuiti di dalam syarikat tersenarai atau tidak.

“Pada tahun 1970, pemegang ekuiti bumiputera berada di tahap 2.4 peratus maka matlamat DEB untuk 20 tahun akan datang pada ketika itu harus berada di tahap 30 peratus. Soalnya sekarang, adakah kita masih berada di situ dan berobjektif untuk mencapai tahap tersebut ataupun mungkin ada pendekatan baharu.

“Soal pendekatan baharu inilah yang akan kita bincangkan di dalam kongres ini bukan hanya soal ekuiti, tetapi penyertaan dan bagaimana kita mengungguli bidang-bidang tertentu tanpa kita mengetepikan etnik lain yang berada di negara kita,” katanya lagi.

KEB 2024 dijadualkan akan berlangsung pada Khamis, 29 Februari hingga 2 Mac ini dengan objektif utama pemerkasaan agenda bumiputera dalam sepuluh sektor ekonomi negara.

Ia menjadi antara agenda penting kerajaan Madani bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif serta inovatif. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.