Ahmad Zahid Percaya Lawatan PM Kemboja Sangat Signifikan Ke Arah Pengukuhan

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet ke Malaysia sangat signifikan ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala dan juga terhadap kerjasama serantau ASEAN.

Terdahulu, beliau yang juga Presiden UMNO telah bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kehadiran Perdana Menteri Kemboja itu.

“Acara dimulakan dengan kawalan kehormatan, mesyuarat dua hala dan diteruskan dengan pertukaran memorandum (MoU) dalam bidang kewangan inovatif serta perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja.

“Antara perkara yang turut dibincangkan dalam pertemuan tadi termasuklah perkongsian kemajuan dua hala, kerjasama dalam dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, komunikasi maklumat serta melihat peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu akan memberi nilai tambah ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala serta kerjasama serantau ASEAN.

Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 serta menjalinkan kerjasama dalam pelbagai sektor antaranya perdagangan, pelaburan, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pada 2023, Kemboja merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai dagangan dua hala Malaysia-Kemboja direkodkan sebanyak RM3.02 bilion dengan eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, iaitu peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pelbagai syarikat Malaysia juga telah melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 bilion. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.