Siti Aminah Zahirkan Simpati Kepada Mangsa Kebakaran Di Kampung Bakalau, Beaufort

BEAUFORT, 23 Feb – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menzahirkan rasa simpati ke atas musibah kebakaran yang menimpa lapan keluarga di kampung Bakalau, di sini pada petang Rabu lepas.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada petang kejadian kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Beaufort sekitar jam 5.30 petang telah menghalakan perjalanannya ke lokasi kejadian apabila melihat kepulan asap di udara.

“Semasa saya sampai di lokasi kejadian, dua buah rumah sudah musnah dijilat api… api terlalu cepat merebak kebetulan kawasan rumah berhampiran sebahagiannya dibuat daripada papan, lebih memburukkan keadaan angin bertiup kencang dan keadaan cuaca panas menyebabkan api cepat merebak,” katanya.

Menurut Siti Aminah, beliau sempat menghubungi pihak bertanggungjawab bagi membantu usaha anggota bomba Beaufort memadam kebakaran ekoran bimbang keadaan sukar dikawal kerana api terlalu cepat merebak.

Dalam pada itu, Siti Aminah yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd berkata, Pusat Khidmat Parlimen Beaufort menghulurkan bantuan awal kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan begitu juga dengan UMNO bahagian Beaufort yang turut memberikan bantuan.

Beliau juga turut menyarankan kepada kerajaan Negeri Sabah agar mangsa-mangsa yang terlibat diberikan bantuan rumah di bawah skim bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Semua keluarga yang terlibat terdiri dari golongan B40 yang layak diberikan bantuan perumahan dan saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkanya memandangkan semua mangsa adalah golongan B40,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.