ICIEF 2024: Ahli Akademik Diseru Gembleng Pengetahuan, Main Peranan Pemangkin Perubahan Positif – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli akademik diseru untuk menggembleng pengetahuan dan memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan positif agar kemakmuran ekonomi dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah menggariskan empat kunci utama ke arah memacu kemajuan ekonomi negara ketika menyempurnakan ucapan penutup di Persidangan Antarabangsa untuk Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 (ICIEF 2024).

“Para akademia diseru untuk menggembleng pengetahuan dan sumber untuk memainkan peranan sebagai pemangkin kepada perubahan positif bagi memastikan generasi akan datang dapat mewarisi ekonomi makmur dalam ekosistem alam yang sejahtera.

“Dalam menyempurnakan ucapan penutup Persidangan Antarabangsa untuk Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 (ICIEF 2024), saya turut menggariskan empat kunci utama yang boleh menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi negara.

“Pertama, para akademia perlu mencari idea inovatif bagi memastikan kemajuan ekonomi yang tercapai mestilah bersifat insani dan mapan di samping mampu mengadunkan kehendak pertumbuhan, produktiviti serta kecekapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menyeru agar inovasi dijadikan sebagai jambatan untuk meneroka sempadan dan teknologi baharu.

“Kedua, mereka diseru untuk jadikan inovasi sebagai tujahan dalam meneroka sempadan dan teknologi baharu tanpa mengesampingkan sedikit pun kekayaan warisan serta tradisi kita.

“Ketiga, kerjasama rentas disiplin melibatkan pertukaran ilmu, sumber dan kemahiran perlu sentiasa dipupuk antara para akademia, industri serta pembuat dasar dengan hasilnya mampu memberi manfaat juga solusi kepada masalah.

“Seterusnya, para akademia juga digesa untuk menterjemah kesemua inspirasi dan idea yang ada sehingga menjadi kenyataan atau juga sebagai sebuah dasar baharu boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar bidang ekonomi dan perbankan Islam akan memacu ekonomi negara serta dunia untuk membantu mengatasi kemaslahatan ummah sejagat.

“Persidangan tiga hari bermula Selasa lalu mengangkat tema ‘Memacu Agenda Ekonomi Insani yang Mapan’ merupakan anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Kementerian Kewangan Malaysia; dan Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE).

“Saya turut mengalu-alukan cadangan ahli persidangan ICIEF 2024 melibatkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada para akademia, industri dan pembuat dasar dari dalam serta luar negara untuk mengemukakan sebuah kertas putih. Ianya akan diperhalusi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berkait sektor ekonomi dan kewangan Islam untuk ditimbang pelaksanaannya oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

“Semoga ekonomi dan perbankan Islam akan menerajui ekonomi negara serta dunia untuk membantu mengatasi kemaslahatan ummah sejagat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.