Industri Halal Jepun: Ahmad Zahid Yakin Permintaan Besar Akan Buka Peluang Buat Negara

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa dengan jumlah permintaan yang besar akan membuka peluang buat pemain industri halal negara menembusi pasaran tersebut di Jepun.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu telah meneruskan agenda lawatan kerja rasmi ke Osaka, Jepun dengan mengunjungi Pusat Penyembelihan Halal Jepun di Sanda Shonikuni Kosha.

“Pagi ini saya meneruskan agenda lawatan kerja rasmi saya ke Osaka, Jepun dengan mengunjungi Pusat Penyembelihan Halal Jepun di Sanda Shokuniku Kosha.

“Sanda Meat Centre adalah salah satu pemain industri halal yang dengan telah membuka pusat penyembelihan dan pemprosesan daging di Jepun.

“Mereka juga mengeksport daging lembu Jepun premium, terutamanya Wagyu yang diperolehi terus dari ladang di seluruh Jepun dan mereka memberi penekanan terhadap kepentingan aspek halal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau turut melihat mereka memberikan penekanan terhadap aspek pembersihan yang merupakan komponen penting dalam menghasilkan makanan halal.

“Selain daripada melihat kepada cara penyembelihan dan pemprosesan, saya juga melihat mereka memberi penekanan terhadap aspek pembersihan yang menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam pengeluaran barangan halal.

“Nilai export Malaysia ke Jepun berjumlah RM59.46 billion pada tahun 2022, dan jumlah export halal sahaja berjumlah RM3.6 billion. Pastinya dengan permintaan halal yang besar ini, sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia saya yakin ia akan membuka peluang buat pemain industri halal negara untuk menembusi pasaran di sini,” katanya.

Pada Sabtu lalu media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun untuk lawatan kerja dengan beberapa fokus utama antaranya untuk memantapkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab dalam industri halal global.

Lawatan kerja tujuh hari sehingga 23 Feb ini, yang merupakan kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pada Disember 2022, jelas mencerminkan keutamaan Malaysia dalam kedua-dua bidang berkenaan yang mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.