RCI Pulau Batu Puteh: Apa Kelayakan Tun Mahathir Cakap Isu Konflik Kepentingan? – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai konflik kepentingan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes Pulau Batu Puteh.

Jelasnya, anggota RCI untuk kes tersebut telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim namun perkara tersebut menerima bantahan daripada Tun Dr Mahathir.

“Anggota RCI Pulau Batu Putih telah terima watikah pelantikan dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Tetapi Tun Mahathir bantah. Dia tuduh Pengerusi RCI, Tun Raus ada konflik kepentingan.

“Tun Mahathir takut bayang-bayang sendiri. Dia yang ada konflik kepentingan apabila Tun Raus meletakkan jawatan Ketua Hakim Negara dulu. Tun Mahathir kepanasan.

“Apa kelayakan Tun Mahathir bercakap isu konflik kepentingan. Dia orang yang paling banyak diselubungi konflik kepentingan ketika di puncak kuasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sewaktu berkuasa dahulu Tun Mahathir telah melantik orang yang mempunyai kepentingan dalam politik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dia melantik Datuk Mohd Shukri yang sudah bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kemudian lantik Latheefa Koya (orang politik) ganti Shukri.

“Perlantikan Richard Malanjun Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Raus juga kontroversi. Bahkan perlantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak juga dipertikaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa bantahan Tun Mahathir tidak sepatutnya dilayan kerana rakyat semestinya mahu mengetahui mengapa beliau membatalkan rayuan semakan ke atas Pulau Batu Puteh.

“Sebab itu bantahan Tun Mahathir tidak perlu dilayan. Rakyat mahu tahu kenapa Tun Mahathir batal rayuan semakan keputusan Pulau Batu Putih. Ia amat misteri.

“Kenapa tidak dibawa ke Kabinet? Kenapa buat keputusan tergesa gesa. Peguam Negara ketika itu pula dipaksa cuti (force leave)?

“Tun Mahathir cari alasan untuk mengelak RCI. Dia tahu dosa kehilangan wilayah amat berat dan tidak boleh dimaafkan ke anak cucu,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara.

Menurut hantaran di Facebook rasmi, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 14 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI itu yang dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.