Kes Nik Elin: Perlu Difahami Secara Tuntas Bidang Kuasa Mahkamah Persekutuan, Syariah – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Bidang kuasa mahkamah persekutuan dan syariah perlulah difahami secara tuntas apatah lagi sekiranya ia melibatkan kes yang dibawa peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jelasnya, Perlembagaan negara telah meletakkan secara jelas mengenai neraca undang-undang dan ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Perlembagaan negara telah meletakkan secara jelas satu neraca pertimbangan mengenai undang-undang. Sebab itu disebutkan tadi bahawa dalam jadual (9) senarai (1) adalah berkaitan dengan persekutuan dan urusan undang-undang di bawah Perlembagaan.

“… dan peruntukan di bawah perlembagaan juga menyebut bahawa senarai (2) adalah merupakan pengurusan yang berkaitan dengan pihak negeri. Di peringkat Persekutuan, kita faham ia digubal di Parlimen dan negeri digubal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Tetapi prosesnya sangat mengikut peraturan sehingga selepas penggubalan, dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen, barulah diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pun begitu juga… daripada DUN dibawa ke peringkat sultan negeri masing-masing,” katanya ketika sesi wawancara anjuran Penerangan UMNO Malaysia #HitamPutihKelabu di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, terdapat tiga kesalahan yang disebutkan di dalam mahkamah syariah iaitu hudud, takzir dan qisas.

“Saya melihat sebenarnya dalam hal yang seperti ini kita sangat jelas bahawa penghakiman dibuat pada 9 Februari ataupun dikenali sebagai ‘Black Friday’, kita kena faham secara tuntas dan jelas.

“Dalam mahkamah syariah ada tiga jenis kesalahan. Pertama ialah kesalahan hudud, kedua qisas dan ketiga takzir. Hudud ini ada ulama mengatakan ada enam perkara, namun ada yang mengatakannya adalah tujuh, campur dengan pemberontakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa terdapat perbezaan penghukuman di bawah mahkamah persekutuan dan syariah seperti hukum qisas.

“Oleh kerana ada perbezaan dalam mahkamah persekutuan kerana tiada pengampunan untuk takzir, boleh ke tidak kalau kita praktikkan? Di sana ada Lembaga Pengampunan dan ia diangkat ke peringkat tertinggi negeri iaitu sultan manakala bagi pusat adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Ini satu perkara yang sengaja saya lontarkan untuk kita fikirkan supaya sekiranya perkara ini berlaku, di sana ada hukuman yang kita namakannya sivil iaitu bunuh dibalas bunuh sebagai contoh kes Mona Fendy.

“Contoh-contoh yang seperti ini boleh kita bincangkan di peringkat pakar-pakar perundangan dan sebagainya. Oleh kerana hudud dan qisas ini dua perkara dan selebih daripada dua kesalahan disebutkan di sini semuanya adalah dibawah takzir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa petisyen yang dilakukan oleh Nik Elin adalah untuk memperbetulkan semula bidang kuasa pihak negeri dan persekutuan dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

“Balik kepada persoalan yang kita bincangkan tadi, adakah hukuman mahkamah syariah diambil alih? Tadi disebutkan bukan soal pengambilalihan.

“Persoalannya sudah berlaku adalah bidang kuasa negeri dan sudah diperjelaskan di sini mengenai kuasa persekutuan, maka penghakiman yang telah dibuat pada kes petisyen oleh Nik Elin ini adalah kes berkaitan untuk membetulkan balik kuasa pihak negeri dan persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.