#HitamPutihKelabu: Manfaat AI Untuk Persediaan Masa Depan, Dedah Pendidikan Awal

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Naib Presiden Malaysian Bumiputera Training Providers (MBTA), Azman Taher berpandangan para pelajar perlu diberikan pendedahan sewajarnya membabitkan artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.

Katanya ia penting bagi memastikan mereka mendapat bimbingan awal membabitkan kepentingan AI yang boleh dimanfaatkan sebagai persediaan mendepani segmen pembelajaran dan pekerjaan yang menggunakan teknologi AI.

“Kita perlu ada sistem pendidikan yang boleh memberikan satu kefahaman dan keduanya kemahiran untuk menilai baik buruk dan bagaimana ianya dijadikan ‘tools’ yang bermanfaat.

“Pendedahan pelajar sekarang ini dalam AI mesti daripada mula, malah pelajar yang berada di sekolah rendah perlu didedahkan dengan AI.

“Sebab kerajaan kata setiap pelajar universiti kena didedahkan sekurangnya empat jam AI punya kesedaran, itu adalah permulaan kerana di peringkat universiti pun sudah lambat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hitam Putih Kelabu: Teknologi AI Rampas Peluang Pekerjaan Rakyat di Facebook UMNO Online yang disiarkan malam tadi bersama panel Pengurus Besar Lebuhraya Pantai Barat, Syed Mohammed Idid.

Azman yang juga turut sama melaksanakan latihan dalam bidang AI berkata, pendidikan awal dalam teknologi ini penting bagi memastikan negara mempunyai generasi muda yang berupaya menghasilkan ciptaan baharu dalam teknologi.

“Kena dari sekolah rendah perlu ada pendedahan sebab kalau kita lihat hujungnya untuk kita jadikan AI sebagai satu alat yang akan bermanfaat kepada negara kita perlu jadi pencipta, pembina, penginovasi dalam penggunaan AI.

“Tidak boleh semata pengguna kerana sekarang ini kita adalah pengguna terbesar seperti Netflix dalam berjuta-juta penonton Netflix dia tahu kita tengok apa, cadangan cerita yang selanjutnya, ini adalah AI.

“Kita kena ada road map supaya kita juga menghasilkan ciptaan baharu, kita mahu menjadi pembina algorythym,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.