UMNO Landasan Perjuangan Tepat, Amal Dasar Pintu Terbuka Terima Ahli – Nik Mohd Nazri

KENINGAU, 19 Feb – UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli parti tanpa menjanjikan sebarang ganjaran atau apa-apa syarat.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nazri Nik Zawaiwi berkata, UMNO bukanlah parti yang berpaksikan kepada individu, sebaliknya merupakan sebuah landasan perjuangan yang didukung secara tulus ikhlas dalam meneruskan kedaulatan negara, agama dan bangsa yang menjadi keutamaan.

Menurut beliau, walaupun UMNO diasak dengan pelbagai serangan, cabaran dan tohmahan dari pihak lawan namun parti ini masih terus utuh berjuang dan menjadi pilihan rakyat di negeri ini.

“Kita amalkan pintu terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli untuk berjuang bersama UMNO … kita alu-alukan tanpa syarat, tanpa imbuhan kewangan, jawatan dan sebagainya sebagaimana yang dilakukan oleh parti lain meskipun baru bertapak iaitu menarik orang ramai dengan menjanjikan ganjaran untuk menyertai parti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima 265 borang keahian baharu UMNO di kampung Belilingi Lingkudau dekat sini, kelmarin.

Nik Mohd Nazri berkata walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kewujudan UMNO di negeri ini dan berusaha menguburkannya iaitu dilakukan oleh bekas pemimpin yang dahulunya bersama UMNO namun usaha tersebut gagal kerana rakyat memahami dan mengingati apa yang telah parti ini lakukan dan perjuangkan untuk pembangunan serta kemakmuran di negeri ini.

“Lihat sahaja di Sabah, pembangunan hasil perjuangan UMNO yang tidak ada sesiapa boleh menafikan. Lebuhraya Pan Borneo, hospital, pendidikan dan sebagainya yang mana peruntukannya disediakan oleh kerajaan pusat adalah bukti nyata bahawa UMNO membawa telah perubahan, memberi kemajuan dan kemakmuran untuk dikongsi oleh rakyat Sabah,” katanya.

Menurut Nik Mohd Nazri yang juga Pengerusi Sekretriat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah, walaupun ada pihak yang menjadi api dalam sekam, duri dalam daging dan menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk mengecap kemewahan, namun parti ini kekal relevan malah sehingga kini tetap menjadi pilihan rakyat.

“Biarlah mereka yang ‘sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’ iaitu meninggalkan perjuangan sebenar setelah mengecap kemewahan, bersenang-lenang, bergelar dan berpangkat hasil daripada kedudukan yang berpaksikan UMNO namun kemudiannya hari ini lupa diri lantas, meninggalkan parti dan berusaha pula membunuh kewujudan UMNO di Sabah namun yang pasti kita masih gagah meneruskan perjuangan,” katanya.

Nik Mohd Nazri juga turut membidas usaha pihak lawan yang menggunakan tindakan negatif apabila ada pemimpin-pemimpin lantikan politik dari UMNO sebelum ini diugut, dengan jika tidak menyertai mereka akan dipecat dari jawatan disandang namun bagi pemimpin dan ahli UMNO yang setia dam berprinsip mereka sanggup hilang jawatan dari mengadaikan perjuangan.

“UMNO akan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat, UMNO bukanlah sebuah parti yang bermusim dan bukan hanya apabila menjelangnya pilihan raya sahaja, bukan juga berdrama atau bermuka-muka namun inilah tanggungjawab tulus ikhlas sepenuh hati demi memastikan rakyat mendapat pembelaan,” tegas Nik Mohd Nazri lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.