Majlis Ulama UMNO Tegaskan Malaysia Negara Islam, Daulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Majlis Ulama UMNO (MUU) menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam yang mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan yang dijelmakan juga menerusi penggubalan pelbagai jenis undang-undang yang patuh Syariah sama ada di peringkat Mahkamah Awam yang tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen atau di peringkat Mahkamah Syariah yang bidang kuasanya di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MUU memaklumkan telah bermuzakarah berhubung isu pembatalan 16 seksyen kesalahan jenayah Takzir dalam Enakmen Jenayah Syariah (I) Kelantan berasaskan pembentangan oleh beberapa tokoh akademik dan pengamal perundangan Islam negara.

“MUU menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan 16 seksyen dalam Enakmen Jenayah Shariah (I) Kelantan adalah berada di bawah bidang kuasa Persekutuan bukan bidang kuasa Negeri menerusi Dewan Undangan Negeri.

“MUU juga mengambil maklum bahawa Kerajaan Persekutuan telah menggubal dan menjadikan 16 kesalahan Syariah yang terbatal itu juga sebagai kesalahan jenayah yang terpakai pada semua rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam menerusi Mahkamah Awam. Itu merupakan satu pemerkasaan terhadap kesalahan Takzir menurut Syariah Islam dalam negara untuk menjadi undang-undang negara dan bukan hanya undang-undang negeri.

“MUU turut mengambil maklum bahawa sebahagian 16 kesalahan Syariah itu turut terkandung dalam Enakmen Kesalahan Syariah di negeri-negeri lain dan Wilayah Persekutuan sebagai satu usaha kerajaan ketika di bawah pentadbiran UMNO menobatkan jenayah Takzir Islam. Justeru keputusan terhadap Enakmen Kelantan turut memberi kesan kepada akta dan enakmen yang sama di negeri-negeri tersebut.”

Jelasnya, menurut Perlembagaan Malaysia, bidang kuasa Dewan Undangan Negeri antaranya ialah menggubal undang-undang yang pelaksanaannya berlangsung di Mahkamah Syariah serta terpakai pada umat Islam sahaja.
“Justeru, MUU menegaskan kesalahan Syariah yang melibatkan umat Islam sahaja adalah berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana telah digubal oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh UMNO bermula 80-an.”

Katanya, ia terdiri daripada kesalahan Takzir seperti berikut:
a. melibatkan Aqidah seperti pemujaan salah, takfir, doktrin palsu dan dakwaan palsu.

b. melibatkan kesucian agama Islam seperti mempersendakan Islam, menghina pihak berkuasa agama dan penerbitan bertentangan hukum Syarak.

c. melibatkan Syariah dalam perkara ibadah seperti tidak menunaikan solat Jumaat, tidak menghormati Ramadhan dan tidak membayar zakat.

d. melibatkan Syariah dalam perkara kekeluargaan

e. melibatkan Akhlak serta moral seperti judi, sumbang mahram, khalwat dan lelaki berlagak perempuan.

f. melibatkan sebahagian kesalahan jenayah Hudud dan Qisas seperti minuman memabukkan, qazaf dan zina

“Untuk memastikan Mahkamah Syariah mempunyai kompetensi yang tinggi bagi melaksanakan tanggungjawab keadilan, MUU menyeru Kerajaan Persekutuan memperkasakan lagi Mahkamah Syariah agar setaraf dengan Mahkamah Sivil melibatkan pemerkasaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, prasarana di Mahkamah Syariah, latihan penyiasatan dan penguatkuasaan, penggajian hakim, tingkatan mahkamah dan lain-lain.”

Dalam masa yang sama, MUU juga menyeru Kerajaan Persekutuan meneruskan agenda pengharmonian undang-undang Persekutuan dengan prinsip patuh syariah.

“Perundangan Jenayah Syariah sama ada yang berada dalam bidang kuasa negeri mahupun dalam bidang kuasa Persekutuan perlu diperkasakan menerusi kajian perundangan yang memperincikan lagi bidangkuasa negeri dalam menggubal undang-undang dan kesalahan Syariah.

“Begitu juga ‘roadmap’ yang telah dibuat oleh JAKIM sebelum ini untuk memperkasakan RUU 355 dengan meningkatkan kadar hukuman daripada tiga tahun penjara, enam6 kali sebatan syariah dan RM5,000 denda wajar untuk diteruskan selepas mendapat perkenan Majlis Raja-raja selaku pemegang amanah menjaga Islam dalam negara.

“MUU menggesa kerajaan untuk meneliti peruntukan undang-undang yang wajar dipinda untuk mengukuhkan lagi amalan Islam sebagai Agama Persekutuan. MUU yakin ia akan mendapat sokongan seluruh ahli parlimen Islam merentasi parti.”

Menerusi kenyataan terbabit, MUU juga menuntut Kerajaan Persekutuan bertindak terhadap maklumat-maklumat palsu dan mengelirukan berkaitan undang-undang Islam dan bidangkuasa khususnya di media sosial yang menimbulkan keributan dan kecelaruan di kalangan masyarakat Islam.

“MUU juga turut menghargai usaha Kerajaan Persekutuan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan oleh Tun Zaki bin Tun Azmi bekas Ketua Hakim Negara untuk mengkaji isu-isu berbangkit bagi dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan Majlis Raja-raja.

“MUU akan turut menghantar pandangan secara rasmi kepada Jawatankuasa tersebut untuk pertimbangan bersama demi memartabatkan perundangan Syariah sama ada di peringkat negeri atau negara.”

Sehubungan itu, MUU menyeru seluruh umat Islam memberi tumpuan kepada isu perpaduan di kalangan umat Islam.

“Kerajaan diseru menggubal undang-undang bagi mengelak dan mencegah perpecahan, fitnah, menfitnah, adu domba, budaya takfiri di kalangan masyarakat Islam.

“Perbezaan sudut pandang dalam pelbagai isu wajar berlangsung dalam semangat persaudaraan dan adab berbeza pendapat dalam Islam,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.