Perkukuh Kerajaan Perpaduan Dengan Wujudkan Persefahaman, Kejujuran Dan Keikhlasan

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Persefahaman, kejujuran dan keikhlasan amat diperlukan untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Jelasnya, dialog nasional perlu diadakan untuk terus mengukuhkan kerjasama ini kerana ianya ini tidak akan dapat bertahan dengan kesepakatan pemimpin sahaja.

“Perkara yang diperlukan oleh kerajaan gabungan untuk mengukuhkan kerjasama ini adalah sebuah dialog nasional. Kerjasama tidak semata-mata dapat bertahan dengan kesepakatan pemimpin sahaja.

“Tetapi ketahanan ini juga memerlukan sebuah bentuk kesefahaman yang jujur dan ikhlas antara semua pihak yang jelas berbeza prinsip dan citranya,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, semua pihak yang berada dalam Kerajaan Perpaduan umumnya telah bersetuju untuk membentuk gabungan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Perkara pokok yang perlu disedari adalah, semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju secara prinsip bahawa negara memerlukan pemimpin cekap, jujur, amanah, menghormati kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik.

“Dialog nasional ini akan menjadi platform kepada akar umbi sebagai pendiri kelangsungan parti untuk saling memahami dan berkongsi hala tuju yang sama,” katanya.

Keputusan PRU ke-15 yang lalu memperlihatkan tiada satu parti pun dipilih rakyat untuk menjadi kerajaan secara mutlak.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi, Pakatan Harapan (82), Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.