Jangan Politikkan Keputusan Pembatalan 16 Enakmen Kesalahan Syariah – Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan.

Tegasnya, ia adalah isu bersama umat Islam untuk memperkasakan lagi kedudukan agama dan undang-undang kesalahan Syariah dalam negara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan tidak wajar dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak. Ia adalah isu bersama umat Islam untuk memperkasakan lagi kedudukan agama dan undang-undang kesalahan Syariah dalam negara.

“Kesedaran dan sentimen umum umat Islam dalam negara hari ini tentang pentingnya memperkasakan Syariah khususnya apabila petisyen membatalkan enakmen kesalahan Syariah ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang sangat positif dan menunjukkan kejayaan sistem pendidikan Islam arus perdana dalam negara ke arah memupuk kefahaman beragama di kalangan umat Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, isu yang berbangkit adalah tentang bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang kesalahan Syariah.

“Isu yang berbangkit adalah tentang bidang kuasa menggubal undang-undang kesalahan Syariah. Adakah DUN turut mempunyai kuasa dalam perkara kesalahan jenayah yang telah tersenarai dalam jadual persekutuan?

“Atas kefahaman bahawa ia adalah juga bawah bidang kuasa DUN, maka negeri-negeri bukan hanya di Kelantan sejak 1980-an lagi telah menggubal enakmen kesalahan Syariah dan telah diguna pakai untuk menghukum umat Islam yang melakukan kesalahan di negeri-negeri menerusi Mahkamah Syariah.

“Enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan adalah lanjutan enakmen yang dibuat pada tahun 80-an kemudian dipinda pada 90-an oleh DUN Kelantan. Pembatalan 16 Enakmen Kesalahan Syariah ini turut akan menjejaskan enakmen seumpamanya di negeri-negeri lain,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, sebarang isu melibatkan hal ehwal Islam perlu dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai pemegang amanah menjaga dan memelihara Islam dalam negara menerusi kuasa negeri.

“Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi. Ini adalah untuk mengkaji isu-isu berbangkit seterusnya dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan Majlis Raja-raja.

“Sebarang isu melibatkan hal ehwal Islam perlu dibawa kepada Majlis Raja-raja sebagai pemegang amanah menjaga dan memelihara Islam dalam negara menerusi kuasa negeri, sesuai dengan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.