Program Pejuang Subuh, Subuh Seperti Solat Jumaat Bantu Imarahkan Surau Dan Masjid

KUALA PENYU, 13 Feb – Inisiatif Jawatankuasa Masjid Nur Eshan Kampung Tempurung dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort menganjurkan Program Pejuang Subuh, Subuh seperti Solat Jumaat akan terus diadakan di beberapa buah masjid dan surau yang terpilih di kawasan Parlimen Beaufort bagi mengimarahkan lagi pusat Ibadah itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort Ak. Mohd Yazri Ak. Yahya berkata program seperti ini merupakan platfrom terbaik untuk mengimarahkan rumah Allah terutamanya di bulan Ramadan bakal menjelang tiba.

“Kita lihat menerusi program ini ramai jemaah masijd bersama-sama menunaikan Solat Fardhu Subuh dan ini adalah satu perkara yang kita amat galakkan.

“Justeru, diharapkan pada masa hadapan kita dapat mengadakannya selalu memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai masyarakat Islam setempat dalam Program Pejuang Subuh Subuh seperti Solat Jumaat di Masjid Nur Eshan Kampung Tempurung di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi masjid Yusuf Hanifah dan diselitkan dengan kuliah subuh khas oleh Ustaz Mohamad Tahir Manaf yang memperkatakan tajuk ‘Ibrah Kisah Perjalanan Agung Isra’ Mikraj’.

Menurut Ak Mphd Yazri, program tersebut juga boleh dijadikan contoh bagi pihak pengurusan masjid dan surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menarik ramai jemaah hadir ke rumah ibadat.

“Tahniah dan Syabas kepada jawatankuasa masjid yang berjaya mengadakan program ini dan Pergerakan Pemuda UMNO akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada program-program yang memberikan kebaikan dan kesan yang positif kepada masyarakat khususnya umat Islam,” jelas beliau.

Dalam pada itu Ak Mohd Yazri juga turut menyeru masyarakat Islam khususnya di daerah ini untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan surau dan masjid di sekitar mereka sepanjang bulan Ramadan nanti bagi meningkatkan amal jariah masing-masing.

“Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan, kita ajak rakan-rakan kita, para dermawan, ahli-ahli korporat dan usahawan untuk beramal jariah kerana inilah masanya untuk bersedekah dengan aktiviti-aktiviti yang ada seperti mengadakan aktiviti berbuka puasa di masjid.

“Bukan itu sahaja berbuka puasa bersama, pengisian aktiviti lain boleh diadakan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih di samping menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Ak Mohd Yazri menambah program sedemikian juga mampu memberi impak positif kepada pembentukan ummah yang bersatu padu khususnya di kalangan komuniti setempat. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.