Akta Kedaulatan Negara Satu Usaha Baik, Jadikan Peristiwa Pulau Batu Puteh Sebagai Pengajaran

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Negara bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang merupakan satu usaha yang baik bagi melindungi kedaulatan tanah air.

Setiausaha Biro Perkaderan dan Latihan PPUM, Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, peristiwa Malaysia hilang hak ke atas Pulau Batu Puteh turut memberikan pengajaran bermakna untuk kita terus mempertahankannya.

“Pertama sekali saya menyambut baik cadangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina (Azalina Othman Said) untuk membentangkan Akta Kedaulatan Negara buat kali kedua.

“Ini kerana Pulau Batu Puteh boleh merupakan satu nostalgia buruk kepada Malaysia kerana kita tidak konsisten dan ada ‘flip-flop’ dalam keputusan kerajaan sebelum ini.

“Akhirnya sekarang ini mungkin kita boleh mencuba, tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapatkannya semula. Jadi, apa yang perlu ialah kita kena ambil ini sebagai insiden dan buat tindakan seterusnya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Malaysia juga perlulah mempunyai satu perundangan bagi memastikan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan, mana-mana individu tidak boleh membuat apa jua keputusan mengenai kedaulatan negara secara bersendirian.

“Kalau kita lihat kepada isu semasa di Laut China Selatan sekarang, kapal tempur dari negara China masuk dan keluar daripada negara kita dengan kadar yang sangat banyak sehingga mengganggu-gugat keselamatan para nelayan.

“Jadi saya melihat perkembangan Laut China Selatan ini… kalaulah Filipina dan Vietnam pun sudah bertemu, membentuk kerjasama untuk menjaga kawasan maritim mereka, kita juga perlu ada satu sistem perundangan bagi memastikan sesiapa sahaja menjadi kerajaan, mereka tidak boleh mendahului perlembagaan negara dalam isu kedaulatan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa Malaysia juga perlu meningkatkan keselamatan siber memandangkan banyak syarikat sentiasa masuk dan keluar untuk melabur di negara kita.

“Jadi, saya menyambut baik tentang cadangan ini yang semestinya diletakkan ‘people’s first’ itu sebagai keutamaan. Semua parti politik di Dewan Rakyat mesti menyambutnya dengan baik kerana kedaulatan negara bukan satu perkara remeh.

“Kita tidak mahu lagi peristiwa Lahad Datu ataupun konfrontasi komunis dahulu datang semula. Maka ini adalah satu ‘move’ yang sangat baik dan saya harap pemimpin politik memainkan peranan maksimum untuk memastikan bagaimana akta ini akan mencakupi sistem bukan sahaja secara lahiriah tetapi juga dari segi digital.

“Kita juga perlu melihat kedaulatan negara dari segi keselamatan siber dan seangkatan dengannya. Syarikat yang melabur akan masuk dan keluar untuk bersama dengan negara kita… akan tetapi kita perlu melindungi kedaulatan negara dari mengalami kebocoran data dan sebagainya,” katanya lagi.

Pada 6 Februari lalu UMNO Online melaporkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Negara pada sesi Parlimen akan datang untuk bacaan kali kedua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, akta tersebut adalah sebagai pengajaran daripada kes Pulau Batu Puteh yang akhirnya terlepas ke tangan Singapura disebabkan kekhilafan pentadbiran. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.