Pendidikan Awal Kanak-Kanak Agenda Masyarakat ‘Melentur Buluh Dari Rebungnya’ – Raime

TENOM, 9 Feb – Pendidikan awal kanak-kanak merupakan agenda masyarakat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-dilantik) Sabah, Datuk Raime Unggi.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat GIATMARA Parlimen Tenom itu telah hadir untuk menyempurnakan Hari Apresiasi Tabika dan Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) pada Selasa lalu.

Jelasnya, ledakan teknologi telah mempengaruhi pemikiran anak-anak sementara kewujudan media sosial pula telah menjadi anasir tidak baik.

“Pendidikan awal kanak-kanak agenda masyarakat ‘meluntur buluh biarlah dari rebungnya’. Ledakan teknologi mempengaruhi pemikiran anak-anak. Kewujudan media sosial juga telah merubah pemikiran mereka hari ini kerana dipengaruhi anasir tidak baik.

“Pentingnya agenda pendidikan dari awal menjadikan tinggi akhlak dan moral. KEMAS sentiasa komited dalam apa jua program dengan menyampaikan ilmu pengetahuan berbentuk pendidikan awal kanak-kanak dan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira walaupun di mana jua mereka berada terutamanya di luar bandar,” katanya.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Tenom itu, bimbingan dan asuhan awal kanak-kanak penting dalam melahirkan insan yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

“Oleh itu guru-guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu terus memainkan peranan dalam mendedahkan pendidikan kepada kanak-kanak, mendidik dan mengasah bakat mereka terutamanya di peringkat awal usia sejajar dengan peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara suatu hari kelak,” katanya.

Majlis Hari Apresiasi Tabika / Taska KEMAS merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai pengiktirafan kepada kanak-kanak yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum.

Seramai 310 kanak-kanak menerima sijil anugerah kanak-kanak cemerlang pada Majlis Hari Apresiasi Tabika / Taska KEMAS Parlimen Tenom.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Sabah, Wan Assim Wan Shekh, Pegawai KEMAS Tenom, Riyanti Mekail@Ibrahim, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Noor Izyani Piduman dan Penolong Pegawai Komuniti & Kemahiran, Mohamad Izzul Mat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.