Kehilangan Pulau Batu Puteh Beri Impak Besar Kepada Kedaulatan Negara, Ekonomi – Abdul Halim

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Kehilangan Pulau Batu Puteh memberikan impak yang besar kepada negara terutama sekali dalam isu kedaulatan dan juga aktiviti ekonomi, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau memaklumkan bahawa perkara ini turut memberi kesan kepada isu keselamatan di perairan sempadan antara Malaysia dan Singapura.

“Saya melihat bahawa perkara ini membawa kerugian untuk negara khususnya di Negeri Johor. Kita ada Pengerang yang sekarang ini sedang pesat membangun dan ini juga adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Johor.

“Kalau kita lihat, Singapura letak sempadan yang membolehkan mereka menambak sebesar tiga kilometer radius. Bermakna, ia akan mengecilkan ruang kawasan Negeri Johor dan negara kita.

“Dari segi ekonomi, apabila kapal-kapal ini mereka hendak pergi ke Pengerang atau Pelabuhan Johor, mereka mesti melalui laluan tengah. Kemudiannya, apabila dibesarkan kawasan tersebut mungkin dari segi keselamatan juga ia akan merugikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi poadcast Penerangan UMNO Malaysia #HitamKelabuPutih yang bertajuk ‘Apa Itu RCI’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru-baru ini.

Menurutnya, isu Pulau Batu Puteh ini sepatutnya menjadi perkara utama yang dipertahankan selepas berlakunya peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Mereka boleh meletakkan tentera untuk melihat perspektif jika berlaku pertelagahan di antara Singapura dan juga Malaysia. Ini adalah satu perkara yang harus kita lihat agar Malaysia sebagai negara yang berdaulat ini dapat dipertahankan sebaiknya.

“Saya tertarik dengan pantun daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Mahathir Mohamad). Walaupun beliau bekas negarawan kita dan pada tahun 2017 beliau bersama dengan parti sebelah sana.

“Apabila beliau mengambil alih pada tahun 2018, mengapa itu perkara pertama dilakukan sebelum mesyuarat kabinet? Beliau membuat keputusan tanpa ada Peguam Negara dan menarik balik rayuan kita terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu dilaksanakan untuk menyiasat punca Tun Dr Mahathir menarik balik permohonan rayuan tersebut.

“Apabila rayuan ditarik balik, yang sepatutnya kita ada local standard untuk melihat kepada kemenangan ketika itu tidak diteruskan, maka kita kehilangan satu kawasan yang betul-betul strategik untuk kita olah serta tadbir.

“Ini harus kita lihat mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri sepatutnya isu pertama adalah harus dipertahankan Pulau Batu Puteh ini. Tiga perkara kita hilang tetapi dua daripadanya boleh diperbaiki.

“Tetapi, ada satu perkara yang kita tidak boleh ambil balik. Penubuhan RCI ini pada pandangan saya ia perlu dilaksanakan untuk melihat mengapakah perkara ini berlaku dan dari manakah punca kuasa yang membolehkan beliau untuk menarik balik permohonan untuk kita membuat rayuan,” katanya lagi.

Pada 8 Julai 2021 media melaporkan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Tun Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

Pada 4 Januari lalu media melaporkan bahawa kerajaan menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan RCI ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.