Teruskan Bekerja… Beri Tumpuan Kepada Usaha Bina Negara, Bantu Rakyat – Hang Tuah

IPOH, 6 Feb – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din menyarankan para pimpinan dari Kerajaan Perpaduan untuk teruskan bekerja dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk membina negara dan membantu rakyat.

Jelasnya, Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang telah berlangsung pada bulan lalu telah memberikan jaminan tuntas bahawa kerajaan pada hari ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Terus bekerja. Saya yakin konvensyen yang baru selesai ini memberi jaminan dan jawapan yang tuntas bahawa kerajaan akan kekal sehingga PRU ke-16 maka tumpuan harus terarah kepada kerja berterusan termasuklah usaha membina negara dan membantu rakyat.

“Buktinya dalam tempoh setahun kerajaan ini bekerja, kita berjaya memperoleh RM1.23 bilion pendapatan yang merupakan catatan tertinggi dalam sejarah negeri Perak. Bayangkan jika habis lima tahun memerintah?” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pihak lawan yang cuba untuk menggugat kestabilan politik negara menghentikan usaha mereka.

“Bagi yang nak tebuk atap, sudah-sudahlah. Tiada manfaat yang rakyat akan dapat. Adakah mereka mampu untuk mencetuskan apa-apa perubahan?

“Kalau dalam konteks negeri Perak, Perikatan Nasional (PN) Perak ini langsung tidak konstruktif. Lihat sahaja di persidangan Dewan Negeri, apa alternatif yang mereka pernah bangunkan dan hujahkan?

“…yang ada hanya soal peruntukan mereka sahaja sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jika merekalah yang ambil alih Perak, kita akan terus ketinggalan,” katanya.

Pada bulan lalu telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang diadakan di Ipoh dan dihadiri oleh para kepimpinan BN-Pakatan Harapan (PH) negeri tersebut.

Konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.