Kes Pulau Batu Puteh: RCI Penting Untuk Penerangan Kepada Rakyat, Ambil Pengajaran – Shahrir

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan penting agar semua pihak dapat mengetahui dengan lebih lanjut di samping mengambil pengajaran daripadanya.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rayuan untuk menyemak semula kes Pulau Batu Puteh ini telah ditarik balik sepuluh hari sebelum tarikh pendengaran oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semua tahu pada ketika itu kalau kita tengok kronologi, tarikh dan sebagainya memang tiada Peguam Negara dan jemaah menteri… keputusan itu dibuat pada bulan Jun kerana penarikan itu berlaku pada bulan Mei.

“Pada 11 Jun 2018 sebenarnya adalah tarikh pendengaran ICJ. Ini bermakna sepuluh hari sebelum rayuan dan mengapa terlalu awal? Takkan tiada masa untuk berunding atau memaklumkan kepada pemegang taruh yang paling penting iaitu Negeri Johor?

“Apa yang telah berlaku di antara bulan Jun dan pada bulan Mei, Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Pada 1 Jun telah diumumkan bahawa Malaysia telah menarik balik rayuan dan permintaan untuk membuat kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara podcast Penerangan UMNO Malaysia #HitamKelabuPutih yang bertajuk ‘Apa Itu RCI’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Isnin.

Jelasnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Perdana Menteri Singapura telah melawat Perdana Menteri Malaysia yang pada ketika itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan ianya menimbulkan tanda tanya.

“Jadi, bagi saya RCI ini boleh membuat rakyat dan umum untuk mengetahui bagaimana proses begini boleh berlaku agar ia menjadi pengajaran kepada mereka yang akan datang kemudian.

“RCI tersebut penting sebab sejak 9 Mei 2018 Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga 1 Jun apabila diumumkan penarikan balik rayuan Malaysia ini, tiada siapa tahu apa yang berlaku.

“Apa yang telah berlaku ialah lawatan Perdana Menteri Singapura melawat Tun Dr Mahathir pada 19 Mei. Pada waktu itu masih belum ada kabinet, kerajaan yang jelas dan sebagainya. Tokoh asing yang awal berjumpa dengan Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri Singapura.

“Itu signifikan… dan akhirnya pada 1 Jun 2018 diumumkan bahawa Malaysia menarik balik keputusan rayuan yang ada di ICJ. Saya bukan nak kata ini ada kena-mengena tetapi bagi saya tentunya perkara-perkara ini menimbulkan tanda-tanya,” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan perlu memberikan lebih tumpuan kepada Batuan Tengah yang telah sah menjadi milik Malaysia dan mempertingkatkan usaha untuk mengawalnya.

“Ada baiknya kalau diadakan RCI… yang pertama, harus dilihat kepada proses. Tetapi yang penting juga ialah apa yang patut kerajaan lakukan kerana kita tidak boleh lagi mengubah keadaan dan keputusan sudah dibuat.

“Kita telah kehilangan Pulau Batu Puteh. Kita ada Batuan Tengah, apa yang patut kita buat? Jangan pula kita ulang semula masalah lalu. Masalah yang lalu kita katakan seolah-olah Pulau Batu Puteh itu bukan kepunyaan kita.

“Takkan kita nak biarkan mereka buat apa sahaja dengan Pulau Batu Puteh? Kalau kita buat tak tahu sahaja seperti dahulu ini yang akan menjadi masalah. Tentulah kita kena ada kehadiran tentera laut kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan semua pihak untuk melihat ke hadapan dalam isu ini dan berusaha untuk menjaga kedaulatan negara.

“Maknanya kalau nak ada RCI, penting untuk kita lihat kepada apa yang telah berlaku ke arah sehingga kita tarik diri daripada rayuan di ICJ. Tetapi, kita juga harus melihat ke hadapan, mengambil tindakan, mempunyai bajet menguatkan kedudukan di sana seperti menambak kawasan tersebut dan sebagainya.

“Barulah rakyat sendiri pun boleh tengok bahawa kita mengambil berat tentang satu kawasan yang strategik bagi kita. Walaupun tidak dapat Pulau Batu Puteh, masih ada Batuan Tengah.

“Saya harap RCI ini akan bukan sahaja melihat kepada tempoh 9 Mei sehingga 1 Jun 2018 ketika ianya ditarik balik tetapi juga melihat ke depan tentang soal kedaulatan kita sebenarnya,” katanya lagi.

Pada 4 Januari lalu media melaporkan bahawa kerajaan menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan RCI ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.