Akur Keputusan Lembaga Pengampunan, ‘Move On’ Kuatkan Semula UMNO – Johari

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Seluruh ahli UMNO perlu akur dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak, sekali gus meneruskan usaha menguatkan parti, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Demi kelangsungan parti, beliau menekankan, akar umbi UMNO perlu bangkit, khususnya menggandakan usaha untuk membaik pulih parti secara menyeluruh.

“Kita kena terimalah apa saja keputusan dibuat Lembaga Pengampunan. Kita sebagai ahli UMNO kena akur kepada keputusan (terbabit) dan ‘move on’ (meneruskan langkah ke hadapan)… (agenda sekarang) adalah menguatkan semula parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Tertutup Presiden UMNO Bersama Ketua-Ketua Bahagian, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Perjumpaan itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan.

Program terbabit berlangsung selama dua jam setengah mulai kira-kira jam 4 petang tadi.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sudah tiba masanya seluruh ahli UMNO menunjukkan bahawa parti itu mampu bangkit dan kembali kukuh.

“Kita tunjuk kepada masyarakat bahawa UMNO akan terus bekerjasama dan bergerak untuk memastikan bahawa (parti) boleh dibaik pulih menjelang 2027,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO membincangkan perihal rayuan lanjut kepada Lembaga Pengampunan pada perjumpaan itu pula, beliau menjawab ringkas bahawa ia tidak dibincangkan.

Jumaat lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri
itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda yang perlu dibayar oleh Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Media melaporkan UMNO akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim, bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menghadiri Mesyuarat Khas MKT, semalam, bagi membincangkan pengumuman berhubung pengurangan hukuman dihadapi Najib.

Sehubungan itu, Lokman dipetik berkata, UMNO akan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan ahlinya di seluruh negara dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh diraja untuk Najib. – BHOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.