Isu Najib: Hormati Keputusan, Akan Usaha Dapatkan Pengampunan Baharu Daripada Yang di-Pertuan Agong Ke-17 – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 4 Feb – UMNO akan terus berusaha untuk mendapatkan pengampunan baharu bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak daripada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, meskipun bersedih kerana Mohd Najib tidak diberikan pengampunan penuh, UMNO menjunjung kasih keputusan yang telah dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-16 dan Lembaga Pengampunan.

“Kita menjunjung kasih keputusan yang telah dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Kita bersedih kerana Datuk Seri Najib tidak diberikan pengampunan penuh dan UMNO akan berusaha, kita akan kumpulkan tandatangan seluruh negara untuk merayu kepada Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi mempertimbangkan sekali lagi pengampunan di-Raja ke atas Datuk Seri Najib,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, semalam.

Menurutnya, perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan dalam masa yang terdekat untuk memberi penerangan mengenai keadaan sebenar peristiwa ini.

“Kita akan mulakan dengan perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian bersama Presiden untuk menerangkan kedudukan sebenar. Kita nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kalau diikutkan, pengampunan di-Raja ini sepatutnya boleh didengar sekiranya Datuk Seri Najib telah menjalani satu pertiga daripada hukuman oleh Lembaga Pengampunan.

“Tetapi, atas usaha yang dilakukan oleh Presiden dan dibawa oleh Perdana Menteri maka petisyen Datuk Seri Najib ini dapat didengar awal oleh Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong ke-16… alhamdulilah kita dah dapat separuh daripada hukuman iaitu daripada 12 tahun kepada enam tahun… daripada denda RM210 juta kepada RM50 juta.

“Kita masih mahu berusaha untuk memastikan supaya satu lagi pengampunan baharu dapat dibawa untuk Kebawah Duli Tuanku ke-17 pertimbangkan. Kita minta semua pihak terutamanya ahli-ahli UMNO bertenang kerana usaha kita akan berterusan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan agar semua rakyat Malaysia menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Majlis Pengampunan serta bersama-sama berdiri teguh untuk menegakkan keadilan.

“Kita minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan yang telah di keluarkan oleh Kebawah Duli Tuanku dan Majlis Pengampunan di-Raja. Dalam masa yang sama, pada bila-bila masa Datuk Seri Najib masih lagi boleh memohon untuk mendapat ‘payroll’. Kita juga sedang mengusahakan untuk mendapatkan hukuman secara tahanan rumah.

“Perkara ini semua kepimpinan parti secara konsensus berdiri teguh bersama Presiden UMNO untuk meneruskan usaha dan dalam masa yang sama kita mengharapkan supaya Datuk Seri Anwar turut bersama dengan kita bagi mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Najib. Kita yakin bahawa beliau gagal untuk mendapatkan keadilan daripada awal lagi perbicaraan,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, mereka memaklumkan bahawa mesyuarat kali ke-61 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, Mohd Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 29 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50 juta. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.