Lembaga Pengampunan Putuskan Pengurangan Hukuman Penjara, Denda Ke Atas Najib

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mereka memaklumkan bahawa mesyuarat kali ke-61 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang pada 29 Januari lalu.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Datuk Seri Mohd Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah,” katanya.

Menurutnya, Mohd Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 29 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50,000,000.00.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Mohd Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Mohd Najib Razak akan ditambah selama setahun dan tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” katanya lagi.

Pada 28 Julai 2020 media melaporkan Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Manakala pada 23 Ogos 2022 media melaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.