Konvensyen Kerajaan Perpaduan… Wadah Muhasabah, Perkasa Persefahaman Sesama Parti – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang bakal diadakan di setiap negeri selepas Negeri Perak wajar dilaksana sebagai wadah muhasabah di samping memperkasa persefahaman sesama para pimpinan parti.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, intipati ucapan para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang lalu jelas mencerminkan keserasian dibentuk.

“Konvensyen ini amat perlu diadakan sebagai wadah muhasabah dan memperkasakan persefahaman serta hubungan sesama pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Daripada intipati ucapan pimpinan BN dan PH dari negeri dan pusat jelas menampakkan keserasian mereka untuk terus bersama mengkuhkan kerajaan negeri atas satu hadaf atau tujuan iaitu berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan melebihi dua pertiga dan persefahaman yang terjalin perlu dikekalkan untuk menarik para pelabur mencambah ekonomi di negara ini.

“Kerajaan yang kukuh dan stabil adalah penting untuk menarik pelabur asing melabur ke dalam negara kita. Dalam keadaan Perdana Menteri adalah daripada parti PH yang mendapat jumlah sokongan melebihi dua pertiga, maka persefahaman terjalin dengan BN, GPS dan parti-parti lain perlu dilihat sebagai kukuh dan stabil.

“Ini kerana pada kebiasaannya dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, ukuran utama kestabilan sesebuah kerajaan adalah terletak kepada kestabilan politik. Jika keadaan politik tidak menentu ia juga pasti akan memberi kesan kepada polisi pelaburan dan ekonomi sesebuah negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi turut berharap agar para pimpinan BN-PH memberi lebih perhatian kepada perkara yang melibatkan sensitiviti pimpinan parti di peringkat akar umbi terutamanya dalam isu pembahagian kuasa dan perjawatan.

“Harapan saya, pimpinan tertinggi BN-PH seharusnya memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti pimpinan parti di peringkat akar umbi dari kedua-dua belah pihak terutama dalam isu pembahagian kuasa dan perjawatan di peringkat negeri dan daerah.

“Sebarang ketidakadilan dan pembahagian yang berat sebelah akan membuka peluang kepada pihak pembangkang membuat fitnah dengan melaga-lagakan ahli serta pimpinan di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar semua pintu dan ruang fitnah dapat ditutup untuk menjadikan model Kerajaan Perpaduan yang diasaskan terus berkekalan serta kukuh pada tahun-tahun akan datang.

“Jika semua pintu dan ruang fitnah ini dapat ditutup, maka saya percaya bahawa model kerajaan perpaduan yang baru diasaskan ini akan terus berkekalan dan menjadi semakin kukuh untuk tahun-tahun mendatang.

“Dengan demikian gendang propaganda tebuk atap dari pihak lawan akan semakin lenyap kerana tiada lagi sahutan balas dari rakyat yang semakin selesa berada di bawah naungan kerajaan perpaduan ini,” katanya lagi.

Pada minggu lalu telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang diadakan di Ipoh dan dihadiri oleh para kepimpinan BN-PH negeri tersebut.

Konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.