Kongres Ekonomi Bumiputera: Gunakan Peluang Dan Ruang Sebaiknya – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Setiausaha Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pelbagai perkara serta agenda yang telah dibincangkan sebelum ini berkaitan ekonomi bumiputera tentunya akan diperhalusi sebaik mungkin dalam usaha memastikan ia benar-benar mampu dilaksanakan.

Menurut beliau menerusi platform kolokium yang akan diadakan esok, sudah tentu pelbagai perkara yang telah timbul mahupun diperkatakan sebelum ini akan menjadi topik untuk dibawa dan dibincangkan.

“Esok akan berlangsung Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan menghimpunkan perwakilan-perwakilan UMNO seluruh negara. Lebih 1,500 peserta akan terlibat dan ada wakil setiap negeri yang akan menjadi jurucakap.

“Apa yang dibahaskan akan menjadi resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di akhir kongres esok,” katanya kepada UMNO-Online.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya berkata majlis berkenaan ada secara tertutup dan mereka yang berbahas diharap dapat melontarkan pandangan sebaiknya.

Apa yang penting tambahnya lagi dalam berdepan cabaran ekonomi dan sebagainya hari ini, lontaran pandangan sudah pasti akan diambil kira untuk dirumuskan sebaik mungkin untuk dijadikan resolusi kongres.

“Insya Allah… kita berharap kongres esok akan berjalan lancar dan mereka yang telah dipilih gunalah peluang sebaik mungkin untuk sama-sama berkongsi pandangan serta idea dalam usaha memperkasakan lagi ekonomi bumiputera, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.