Majlis Ulama UMNO dan Kesatuan Nahdah Ulama Yaman-Turkiye Sepakat kepentingan isu Palestin

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Kesatuan Nahdah Ulama Yaman – Turkiye bersama Majlis Ulama UMNO menyatakan komitmen mereka untuk membantah konflik di Gaza yang menyaksikan genosid atau pembunuhan beramai-ramai dalam kalangan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Presiden Kesatuan Nahdah Ulama Yaman – Turkiye, Dr Abdullah Abdul Majeed Zindani ketika kunjungan ke Pejabat Majlis Ulama UMNO semalam mahu fokus dalam menumpukan isu kerjasama bagi menyuarakan bantahan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

“Kedatangan mereka di sini untuk melihat ruang-ruang kerjasama dalam isu melibatkan Palestin.

“Jadi kedatangan ke Malaysia untuk melihat ruang-ruang bagi perbincangan untuk mengangkat isu Baitulmaqdis dan Palestin ini bersama mereka yang mewakili pelbagai entiti ulama yang ada di Istanbul.

“Palestin menjadi topik yang panjang dan berlaku pula akhir-akhir ini satu yang dipanggil tiupan aqsa pada 7 Oktober yang lalu dan rakyat seluruh dunia hari ini sedar akan isu ini,” katanya.

Untuk rekod, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendedahkan sejak perang tersebut tercetus, seramai 25,000 kanak-kanak kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa di Gaza akibat diserang dan dibom tentera Israel.

Menurut badan itu, data tersebut direkod sejak hari pertama Israel memulakan operasi ketenteraan di Gaza pada 7 Oktober lalu.

Baru-baru ini kerajaan Malaysia menyatakan hasrat rakyat dan kepimpinan negara agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata sudah disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu disampaikan Mohamad seiring dengan kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.