FTPA: Elak Negara Terjerumus Ke Dalam Konflik Politik – Shahrul Fazli

KUALA LUMPUR, 30 Jan- Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA) boleh digubal dan diluluskan untuk menghentikan cubaan-cubaan bagi melakukan perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan di luar Parlimen.

Bagi Pengamal Undang-undang, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata sekiranya akta atau pindaan kepada Perlembagaan tersebut digubalkan, maka langkah tersebut dapat mengelak negara daripada terjerumus ke dalam konflik politik tidak berpenghujung seperti yang berlaku sejak pilihan raya lalu.

Katanya, ini kerana ia beri keyakinan kepada semua pihak bahawa tanggungjawab memelihara dewan rakyat juga melibatkan tangungjawab ahli-ahli dewan tersebut.

“Apa yang tidak demokrasi sekiranya ahli-ahli Dewan Rakyat yang mengundi untuk dibubarkan Parlimen sebelum tempoh lima tahun tersebut. Tentu sekali keputusan di dalam Dewan Rakyat ini lebih menunjukkan mewakili rakyat dan tentu sekali menyakinkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tentang kepentingan pembubaran Parlimen itu atau keperluan penukaran tampuk kepimpinan kerajaan (Perdana Menteri) melalui pilihan raya.”

“Sekiranya akta atau pindaan itu digubal maka kuasa untuk membubarkan Parlimen itu masih jatuh kepada tangan Perdana Menteri tetapi hendaklah juga disokong melalui usul di dalam Dewan Rakyat melalui undian.

“Kuasa yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk menasihati YDPA membubarkan Parlimen tentunya datang atas faktor-faktor semasa negara dan kerajaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah beliau, faktor-faktor yang kemungkinan ahli dewan rakyat tidak tahu seperti contoh faktor keselamatan awam, kesediaan agensi-agensi yang terlibat, juga kewangan kerana persediaan dan perbelanjaan pilihan raya semuanya ditanggung oleh kerajaan (Suruhanjaya Pilihan Raya).

“Atas dasar sistem demokrasi berparlimen, elok juga untuk ahli Dewan Rakyat diberi ruang untuk tentukan sama ada bila hendak dilakukan pembubaran Parlimen. Dewan rakyat boleh berhujah dalam menentukan tarikh-tarikh sesuai untuk dibubarkan untuk diangkat kepada YDPA melalui nasihat Perdana Menteri.

“Dari segi undang-undang di United Kingdom (yang dulu) ianya memerlukan 2/3 daripada sokongan ahli Dewan Rakyat untuk bubarkan Parlimen,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.