Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap Berbeza Dengan Akta Lompat Parti – Pengamal Undang-undang

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap yang menimbulkan polemik perlu dilihat secara menyeluruh dan pelbagai pandangan yang dilontarkan termasuklah relevannya akta tersebut setelah adanya Akta Lompat Parti.

Bagi Pengamal undang-undang, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman kedua-duanya mempunyai maksud dan tujuan yang berbeza dan apa yang jelas Akta Lompat Parti adalah untuk menghalang ahli dewan rakyat melompat keluar ke parti lain.

Manakala cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap pula katanya adalah untuk memastikan tempoh hayat parlimen kekal sehingga tempoh lima tahun dan tentunya untuk memastikan sesebuah kerajaan stabil.

“Kita lihat daripada sudut objektif cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap dan juga Akta Lompat Parti yang sedia ada. Kedua-dua objektif ini berbeza. Kehendak untuk adakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap ini adalah untuk memastikan bahawa tempoh jangka hayat parlimen itu kekal sehingga lima tahun dan hak PM untuk menasihati pembubaran lebih awal boleh diperketatkan dengan penglibatan ahli-ahli dewan rakyat dan tidak boleh dibuat diluar dewan.

“Manakala Akta Lompat Parti ianya adalah untuk menghalang Ahli Parlimen melompat keluar dari parti. Ini adalah isu yang berbeza. Apa pun jangan salah faham kerana ini perkara yang berbeza dan tujuan yang berlainan,” katanya dalam temubual khas bersama UMNO-Online.

Memetik laporan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, ia bagi memastikan peristiwa pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut dilaporkan berkata, kajian terperinci akan dilakukan bagi melihat implikasi penggubalan akta tersebut.

Shahrul Fazli seterusnya melontarkan keyakinannya bahawa dengan adanya akta tersebut ianya memberi banyak manfaat dan banyak kelebihan bukan sahaja kepada negara malah kepada seluruh rakyat.

“Pada hemat saya tentu sekali dengan adanya Akta Parlimen Berpenggal Tetap ini ianya akan memberi ruang dan kelebihan kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun untuk menunaikan segala agenda dan program untuk rakyat.”

Katanya, apa-apa pembubaran sebelum tempoh lima tahun perlu penglibatan semua ahli Dewan Rakyat untuk diusul dan disetujui di dalam dewan.

“Sebagai contoh dalam pelbagai bentuk pelaburan sekalipun ianya memerlukan masa untuk membuahkan hasil. Nak menuai pun ada musim. Jadi tentu sekali dengan adanya lima tahun ini maka kerajaan boleh merancang program atau pun dasar-dasar sekaligus dapat melaksanakannya dalam tempoh masa tertentu tanpa adanya risiko terhenti di tengah jalan dan sebagainya.

“Ini sekaligus memberi kelebihan kepada pelabur-pelabur baik daripada dalam mahu pun luar untuk pelaburan masing-masing. Tentu sekali tempoh lima tahun itu memberi keyakinan kepada mereka.

“Pihak pembangkang juga boleh manfaatkan masa yang ada tanpa ketakutan pilihanraya mengejut dan semua ahli dewan rakyat diletakkan amanah untuk tidak gulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan yang sedang berfungsi di luar dewan rakyat,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.