RCI: Kes Pulau Batu Puteh Banyak Misteri, Penggadai Kedaulatan Mesti Dihukum – Mohd Puad

BATU PAHAT, 24 Jan – Terlalu banyak misteri yang berlaku dalam kes Pulau Batu Puteh sehingga menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan ke atasnya, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berharap agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan khas untuk kes ini tidak tertangguh lama.

“Rakyat sudah tentu mengalu-alukan keputusan kabinet menubuhkan RCI Pulau Batu Puteh. Ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

“Diharap RCI Pulau Batu Puteh tidak tertangguh lama seperti RCI Tommy Thomas. Keadilan tertangguh bila RCI Tommy Thomas tertangguh,” katanya.

Menurutnya, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menarik balik semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) turut menimbulkan tanda tanya.

“Dalam kes Pulau Batu Puteh terlalu banyak misteri berlaku. Kenapa Tun Mahathir tarik balik permohonan semakan keputusan ICJ yang memihak pada Singapura?

“Apa muslihat penarikan tersebut? Apakah kabinet maklum? Kenapa tarik dengan tergesa gesa selepas jadi Perdana Menteri ke-7? Apa peranan Tommy Thomas?

“Semoga RCI Pulau Batu Puteh tidak hangat-hangat tahi ayam. Ia akan menjejaskan imej kerajaan. Negara kehilangan wilayah. Penggadai kedaulatan mesti dihukum,” katanya.

Dilaporkan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Tun Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.

Sebelum itu dilaporkan, Mohamed Apandi yang menjadi Peguam Negara dari 2015 hingga 2018, diarahkan bercuti beberapa hari selepas pentadbiran negara bertukar susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang memihak Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.