Kerajaan Perpaduan Tidak Berkompromi Isu Kedaulatan Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan komitmen berterusan kerajaan untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan sesekali berkompromi sekiranya ada kewujudan anasir luar yang mengancam negara.

“Usaha berterusan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk melindungi dan memelihara keselamatan Malaysia serta tidak akan sama sekali berkompromi terhadap apa-apa jua perkara yang mengancam kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook yang berkongsi kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata pelbagai perkara dibincangkan secara bersama termasuk usaha dalam menegaskan naratif sejarah Sabah khususnya mengenai hak penentuan nasib sendiri (right to self-determination).

Katanya ia yang dilaksanakan oleh rakyat Sabah melalui Referendum Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 serta hubungan antara pembentukan Malaysia dengan isu kedaulatan Sabah.

Turut serta dalam pertemuan ini ialah Peguam Cara Negara dan wakil Kementerian Luar Negeri, Datuk Almalena Sharmila.

Sementara itu, Azalina berkata beliau turut sama menghadiri Sesi Libat Urus Sulu: Edisi Khas Sabah, yang merupakan program kolaborasi antara Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Institut Kajian Pembangunan (IDS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan di universiti tersebut bagi memaklumkan usaha dan tindakan Kerajaan MADANI berkaitan kes tuntutan Sulu.

“Ianya merupakan kesinambungan kepada siri libat urus dan kolokium timbang tara antarabangsa yang telah diadakan pada tahun 2023,” ujar beliau.

Selain turut dihadiri oleh Almalena Sharmila, forum itu juga disertai ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr Karim Mansor.

Program yang dihadiri oleh 300 orang ini terdiri daripada anggota Sekretariat Khas, agensi kerajaan, pensyarah universiti tempatan serta pelajar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.